Peluang Rachel akhiri kemarau gelaran 10 tahun

Peluang Rachel akhiri kemarau gelaran 10 tahun

RACHEL Arnold buru gelaran Asia pertamanya pada Kejohanan Skuasy Individu Asia 2025 di Kuching, Sarawak, esok. - Instagram Rachel Arnold
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain No. 19 dunia, Rachel Arnold mara ke perlawanan akhir buat kali kedua dalam kariernya dan berpeluang menamatkan kemarau gelaran selama 10 tahun untuk perseorangan wanita pada Kejohanan Skuasy Individu Asia 2025 di Kuching, Sarawak, hari ini.

Bagaimanapun, untuk dia berbuat demikian, pilihan pertama itu dipaksa bekerja keras oleh rakan senegara, Aifa Azman sebelum menang dalam aksi yang berlanjutan sehingga ke set penentuan 11-9, 11-2, 8-11, 9-11, 12-10 dalam masa 56 minit pada separuh akhir.

Sebelum ini, pemain berusia 29 tahun itu pernah mara ke pentas akhir, empat tahun lalu, tetapi, dia dikecewakan oleh Tong Tsz Wing yang muncul juara edisi 2021 tersebut.

Namun begitu, impian untuk menyaksikan pertembungan dua wakil Malaysia pada perlawanan akhir tidak kesampaian selepas pemain muda, Yee Xin Ying, 21, tewas dalam satu lagi separuh akhir.

Xin Ying yang dilahirkan di Sandakan, Sabah itu terpaksa akur dengan kekalahan ditangan pemain No. 29 dunia, Tomato Ho Tze Lok dari Hong Kong 9-11, 11-5, 11-5, 9-11, 7-11 dalam masa 45 minit.

Kali terakhir dua wakil negara bertembung sesama sendiri di final ialah pada 2004 melibatkan juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David menentang Sharon Wee yang kini merupakan Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

Pada perlawanan akhir, esok, Rachel bukan sahaja melunaskan impian merangkul gelaran Asia yang terlepas daripada genggamannya pada 2021, malah, dia turut berpeluang menamatkan kemarau gelaran selama 10 tahun.

Kali terakhir Malaysia bergelar juara dalam saingan perseorangan wanita ialah menerusi Nicol pada 2015.

Dalam tempoh tersebut sebanyak dua kali wakil negara mara ke pentas akhir, dengan kegagalan Rachel pada 2021 dan bagi edisi 2023, S. Sivasangari tumpas kepada pemain Hong Kong, Chan Sin Yuk.

Untuk edisi 2017 dan 2019 pula dimenangi oleh pemain India, Joshna Chinappa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN