KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang membincangkan penambahbaikan aspek keselamatan anggotanya terutamanya melibatkan kenderaan pengangkutan khususnya trak yang digunakan untuk bertugas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin berkata, satu jawatankuasa telah ditubuhkan dan beberapa cadangan khusus sedang diteliti termasuk penggunaan tempat duduk yang lebih selamat dan tersusun bagi mengelakkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.
“Sebenarnya wakil kita ada dalam jawatankuasa itu dan beberapa cadangan telah pun dikemukakan.
“Khususnya dari segi keselamatan tempat duduk dan kita mahu pastikan susun atur dan penggunaannya lebih betul dan selamat,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali ke-90 KPDRM di sini hari ini.
Razarudin berkata, antara isu lain yang turut dibangkitkan ialah penggunaan trak untuk mengangkut pelajar sekolah.
Jelasnya, ini turut menimbulkan persoalan keselamatan dan akan diteliti lanjut oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.
“Kita lihat bukan sahaja dari aspek susunan tempat duduk, tetapi juga isu barangan yang diangkut bersama penumpang.
“Dalam sesetengah kes, peralatan berat atau barangan operasi diletakkan bersama anggota, dan ini meningkatkan risiko sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.
Menurutnya, terdapat keperluan untuk memisahkan sepenuhnya ruang penumpang dan ruang kargo, lebih-lebih lagi dalam perjalanan ke lokasi operasi dan bukan semasa operasi sedang dijalankan.
“Sepatutnya peralatan seperti itu tidak dibawa dalam ruang sama dengan penumpang. Kita bukan dalam situasi operasi sebenar, ini perjalanan ke tempat operasi, jadi aspek pematuhan keselamatan patut diutamakan,” katanya.
Media semalam melaporkan siasatan awal berhubung nahas membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam di Teluk Intan pada 13 Mei lalu mendapati tiada petunjuk kewujudan kemudahan tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan, belakang termasuk di bahagian pemandu trak.
Laporan awal kemalangan maut melibatkan dua kenderaan berat itu memaklumkan bahawa ketiadaan tali pinggang keledar merupakan risiko keselamatan yang ketara kepada pemandu dan penumpang. – UTUSAN