Enam individu terlibat penyebaran ideologi IS didakwa minggu hadapan

Enam individu terlibat penyebaran ideologi IS didakwa minggu hadapan

MOHD. Khalid Ismail pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai enam individu termasuk tiga remaja bawah umur yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyebaran ideologi radikal kumpulan Islamic State (IS) akan didakwa di mahkamah pada minggu hadapan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kesemua suspek disiasat di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan (Akta 574) berkaitan kesalahan keganasan mengikut prosedur serta peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747).

Menurut beliau, seorang suspek akan dituduh atas tiga pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 130J(1)(a)(k) Kanun Keseksaan kerana mempromosikan kumpulan pengganas melalui media sosial.

Selain Seksyen 130J(1)(a)(d) Kanun Keseksaan kerana menjadi atau mengaku sebagai ahli kumpulan pengganas serta Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

“Dua lagi suspek pula akan dituduh atas dua kesalahan iaitu di bawah Seksyen 130J(1)(a)(k) Kanun Keseksaan kerana mempromosikan kumpulan pengganas melalui media sosial serta Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, dua lagi suspek akan didakwa di bawah Seksyen 130J(1)(a)(d) Kanun Keseksaan kerana menjadi atau mengaku sebagai ahli kumpulan pengganas serta Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas.

Tambahnya, seorang lagi suspek akan dituduh di bawah Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan kerana menyediakan, memaparkan, mengedar atau menjual bahan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN