NSFC umum Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih, berjaya pikat Luqman Hakim

NSFC umum Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih, berjaya pikat Luqman Hakim

NIDZAM Jamil sudah memulakan tugasan sebagai ketua jurulatih NSFC. - GAMBAR NSFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bekas pengendali Selangor FC, Mohd. Nidzam Jamil, 45, dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi mengharungi saingan musim 2025/2026.

Pengerusi NSFC, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemilihan Mohd. Nidzam itu adalah bagi menunjukkan komitmen berterusan kelab dalam memperkukuh persediaan pasukan dan menetapkan hala tuju baharu lebih progresif serta mampan.

“Mohd. Nidzam merupakan individu berpengalaman luas dalam landskap bola sepak Malaysia, sama ada sebagai bekas pemain kebangsaan mahupun jurulatih berprofil tinggi.

“Kepakaran beliau dalam pembangunan pemain muda dan pendekatan taktikal yang moden diyakini mampu memperkasa NSFC dalam menghadapi saingan Liga Super yang semakin kompetitif,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Selain pasukan Merah Kuning, Mohd. Nidzam juga berpengalaman mengemudi pasukan Felda United, Air Asia FC dan KL SPA FC.

Sementara itu, Aminudin berkata, bagi memperkuatkan pasukan, beliau turut mengesahkan kehadiran penyerang, Luqman Hakim Shamsudin, penjaga gol, Muhd. Azri Abd. Ghani, dan pemain pertahanan Ahmad Khuzaimi Piee.

Kata beliau, kehadiran beberapa orang pemain import juga akan dimuktamadkan dan bakal diumumkan tidak lama lagi.

“Kehadiran pemain-pemain import ini akan melengkapkan struktur pasukan dengan keseimbangan antara pengalaman antarabangsa, kepimpinan di atas padang dan sumbangan teknikal yang mampu mengangkat mutu permainan keseluruhan.

“Gabungan pemain muda berpotensi, pemain tempatan berpengalaman dan pemain import yang berkaliber ini dijangka membentuk sebuah pasukan yang lebih kompetitif, seimbang dan berdaya saing tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN