Eksesais Perisai Bandar kukuh siap sedia agensi keselamatan

Eksesais Perisai Bandar kukuh siap sedia agensi keselamatan

AMINUDDIN Harun, bersalaman dengan anggota penyelamat yang terlibat dalam Eksesais Perisai Bandar ketika hadir menyaksikan demonstrasi tersebut di Kem Sikamat, Seremban, hari ini. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 580 anggota daripada tujuh jabatan dan agensi kerajaan mengambil bahagian dalam Eksesais Perisai Bandar 2026 yang julung kali diadakan di negeri ini.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri (MKN), Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, latihan itu pertama kali diadakan yang mengumpulkan tujuh jabatan dan agensi kerajaan membentuk satu gabungan bersama menangani situasi keselamatan dalam negeri.

Beliau berkata, jabatan dan agensi terlibat ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Pejabat Daerah Seremban.

“Eksesais ini merupakan satu inisiatif strategik yang amat signifikan dalam memperkukuh tahap kesiapsiagaan, koordinasi dan keupayaan respons antara agensi keselamatan dan penyelamat.

“Secara keseluruhannya, kita dapat lihat susunatur dan gerak kerja yang terancang daripada semua yang terlibat, jadi saya harap ini merupakan satu tindakan yang tepat dan tersusun,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan eksesais tersebut di bekas Kem Sikamat di sini, hari ini.

Senario yang dipaparkan hari ini bermula dengan pasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen cuba menahan sekumpulan pendatang tanpa izin. Kumpulan itu telah bertindak agresif menyebabkan pasukan polis dipanggil untuk membantu.

Bermula daripada situasi itu, pasukan tindakan ringan (LSF) telah cuba membantu sebelum campur tangan pasukan simpanan persekutuan (PSP) yang lengkap dengan meriam air.

Situasi bertambah genting apabila pendatang asing tersebut menggunakan senjata api dan bom yang mendorong Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan dan berjaya menangani situasi rumit tersebut.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri merancang mengadakan eksesais serupa di laut memandangkan negeri ini mempunyai stesen janakuasa elektrik di tepi laut dan jeti penyaluran minyak.

“Situasi keselamatan bukan saja melibatkan manusia tetapi fenomena seperti ribut dan ancaman gempa bumi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Alzafny Ahmad memberitahu, latihan hari ini menyaksikan penggunaan dron dalam menangani situasi tunjuk perasaan.

Katanya, antara kemampuan dron itu ialah menembak gas pemedih mata, mempunyai pembesar suara dan memancarkan video siaran langsung ke bilik gerakan polis.

“Kemampuan dron ini memberi kelebihan kepada pasukan di darat bertindak dengan lebih tepat,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×