KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad akan terus memberi sokongan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan menteri baharu yang bakal menggantikan dirinya kelak.
Beliau berkata, sokongan itu penting demi memastikan kesinambungan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara.
“Saya telah maklumkan kepada pegawai-pegawai kementerian, saya akan jadi penyokong nombor satu mereka.
“Begitu juga kepada menteri baharu, saya sedia membantu sekiranya diperlukan. Ini bukan soal individu atau parti, ini soal masa depan negara,” katanya semasa berucap dalam Royal Selangor Eco Week 2025 di Royal Selangor Visitor Centre di sini hari ini.
Awal tahun ini, Nik Nazmi memaklumkan RUU itu berada di fasa akhir penyediaan sebelum dibawa ke Parlimen.
Jelasnya, proses itu melibatkan perbincangan intensif dengan kerajaan negeri di samping mengambil kira pandangan pelbagai pihak bagi memastikan kandungan RUU itu lebih komprehensif dan relevan.
Nik Nazmi turut bersyukur apabila RUU berkenaan akhirnya mendapat kelulusan Jemaah Menteri untuk dibentangkan di Parlimen.
Jelasnya, RUU tersebut merupakan antara usaha penting kerajaan dalam membentuk dasar jangka panjang yang mampu menangani cabaran perubahan iklim secara berstruktur dan berkesan.
“Apabila saya mula-mula memegang jawatan (menteri), RUU ini masih dalam peringkat awal. Sekarang ia sudah diluluskan oleh Kabinet untuk dibawa ke Parlimen dan itu satu pencapaian besar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan RUU itu sebagai undang-undang yang perlu melangkaui tempoh perkhidmatan seorang menteri atau kitaran politik semata-mata.
“RUU ini perlu kekal dan tertanam dalam sistem perundangan negara agar ia boleh berkembang. Ini adalah sesuatu yang saya sangat bersemangat dan perjuangkan sejak awal,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mengakui sedikit terkilan kerana tidak berpeluang melihat sendiri pelaksanaan penuh RUU tersebut, namun menyatakan dirinya perlu membuat pilihan demi tanggungjawab yang lebih besar.
Katanya, laluan RUU ini masih berdepan pelbagai cabaran termasuk daripada pihak industri dan sentimen tertentu di Sabah dan Sarawak yang perlu ditangani dengan teliti.
“Harapan saya agar semua pihak melihat gambaran yang lebih besar. Ini soal kepemimpinan Malaysia di peringkat global. Walaupun pelepasan karbon negara kita kecil, tetapi kesan perubahan iklim terhadap Malaysia sangat besar,” katanya. – UTUSAN