KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selepas pembentangan Belanjawan 18 Oktober ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, draf RUU itu kini di peringkat akhir penelitian oleh pasukan khas kementerian dan akan dimuktamadkan sebelum dibawa ke Kabinet.
“RUU ini masih di peringkat penelitian. Setelah selesai, kita akan bentangkan selepas Bajet tahun ini,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Johari menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjawab soalan tambahan Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) yang ingin mengetahui garis masa pembentangan RUU berkenaan serta kedudukannya dalam konteks perlombongan unsur nadir bumi (REE) di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).
Hasni sebelum itu menegaskan, dasar berkaitan perlombongan di kawasan simpan kekal masih kurang jelas dan memerlukan rangka kawalan lebih ketat agar tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar.
Menjawab perkara itu, Johari menjelaskan kerajaan mengambil langkah berhati-hati dengan memastikan sebarang keputusan berhubung REE dilaksanakan hanya selepas kajian menyeluruh selesai.
Menurutnya, setakat ini tiada perlombongan baharu dijalankan di kawasan HSK sementara penyelidik dan saintis sedang melakukan kajian lapangan di Hutan Simpan Kekal Labis.
“Kajian ini penting bagi menilai pendekatan sebelum, semasa dan selepas perlombongan supaya kita benar-benar memahami kesan kepada alam sekitar. Dengan cara ini, kerajaan boleh menggubal dasar yang jelas serta memastikan aktiviti perlombongan terkawal,” katanya.
Beliau menambah, hasil kajian tersebut bukan sahaja akan menjadi rujukan kepada RUU Perubahan Iklim, tetapi juga kepada semua dasar berkaitan pembangunan mampan negara.
Katanya, kerajaan mahu memastikan setiap pelaburan yang melibatkan industri nadir bumi memberi manfaat ekonomi, namun dalam masa sama tidak menjejaskan ekosistem hutan simpan kekal.
“Apabila RUU Perubahan Iklim ini dibentangkan kelak, ia akan menjadi kerangka undang-undang utama yang dapat memastikan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN







