Rafizi, Nik Nazmi tetap berbakti sebagai Ahli Parlimen demi rakyat – PM

Rafizi, Nik Nazmi tetap berbakti sebagai Ahli Parlimen demi rakyat – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan pengunduran Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada jawatan menteri tidak akan menjejaskan khidmat mereka kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, kedua-dua mereka itu akan terus menabur bakti dan memainkan peranan aktif sebagai Ahli Parlimen demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

Katanya, peletakan jawatan itu adalah keputusan peribadi yang berlandaskan prinsip masing-masing dan kerajaan menghormati pendirian mereka.

“Kerajaan yakin mereka tetap komited menyumbang khidmat di Dewan Rakyat serta kepada rakyat di kawasan masing-masing,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN–Arau) yang ingin tahu bagaimana Kerajaan Madani dapat memastikan kestabilan Kabinet selepas peletakan jawatan dua menteri berkenaan yang menimbulkan persepsi kerajaan goyah dan kurang keyakinan, selain mempersoalkan relevannya penggunaan istilah ‘Kerajaan Perpaduan’.

Perdana Menteri menegaskan, Kerajaan Madani kekal kukuh dengan sokongan padu semua parti komponen yang membentuk kerajaan hari ini.

“Kerjasama erat dan semangat saling menghormati dalam kalangan parti menjadi asas kepada kesinambungan pentadbiran negara dan pelaksanaan agenda reformasi,” jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan, Rafizi dan Nik Nazmi yang masing-masing Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa mengumumkan peletakan jawatan Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuatkuasa 17 Jun dan 4 Julai lalu.

Keputusan diambil kedua-dua pemimpin PKR itu berikutan kekalahan mereka mempertahan jawatan masing-masing sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti Mei lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN