Malaysia perlu perkukuh ekonomi sendiri, jangan bergantung kuasa luar

Malaysia perlu perkukuh ekonomi sendiri, jangan bergantung kuasa luar

NORSYAHRIN HAMIDON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu memperkukuh kekuatan ekonomi domestik dan tidak terlalu bergantung kepada kuasa luar seperti Amerika Syarikat (AS) dalam aspek pelaburan serta perdagangan antarabangsa.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, dasar tidak menentu yang digerakkan oleh kuasa besar dunia, khususnya AS, tidak seharusnya menjadi sandaran utama kepada hala tuju ekonomi negara.

“Kalau kita tengok dari sudut yang berbeza, kita kena mampu berdiri di atas kaki sendiri. Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada kuasa luar yang dasarnya berubah-ubah dan sukar dijangka.

“Kerajaan perlu menumpukan kepada pengukuhan pelaburan langsung domestik (DDI), di samping merangsang permintaan serta pengeluaran dalam negara. 

“Langkah ini penting untuk memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keperluan Malaysia untuk lebih bersifat berdikari dalam merencana dasar dan pelaksanaan ekonomi negara tanpa terlalu terikat kepada perubahan polisi luar yang tidak menentu.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz akan menghadiri sesi rundingan bersama pihak AS yang dijadualkan berlangsung di Washington pada 18 Jun ini.

Untuk rekod, April lalu, AS mengumumkan langkah tarif baharu ke atas lebih 60 negara, termasuk Malaysia dengan tarif sebanyak 24 peratus dikenakan terhadap beberapa kategori barangan. 

Namun, pelaksanaannya ditangguhkan selama 90 hari bagi memberi ruang kepada rundingan lanjut.

Mengulas lanjut, Norsyahrin menekankan kepentingan semua pihak menyokong dasar-dasar ekonomi yang diperkenalkan kerajaan agar pelaksanaannya dapat dijalankan secara menyeluruh dan konsisten.

“Kalau kita fikir tentang isu tarif AS yang sering turun naik, ia menunjukkan satu bentuk ketidaktentuan global yang boleh memberi kesan kepada ekonomi kita.

“Oleh itu, kekuatan ekonomi dalam negara perlu ditingkatkan bagi menghadapi sebarang cabaran luaran yang tidak dijangka,” katanya.

Beliau turut mengingatkan sebarang dasar ekonomi yang tidak konsisten hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur dan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

“Dasar yang berubah-ubah atau tidak jelas akan menimbulkan ketidakpastian dan menyukarkan pemain industri untuk membuat perancangan jangka panjang.

“Dengan memanfaatkan potensi ekonomi tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Malaysia mampu membina daya tahan ekonomi tanpa terlalu terdedah kepada pergolakan luar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN