Melaka tidak bankrap anjur Rumah Terbuka Aidilfitri

Melaka tidak bankrap anjur Rumah Terbuka Aidilfitri

Muhamad Akmal Saleh bersama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka, Nor Azhar Abd. Hamid merasmikan pelancaran Semarak Syawal@Pasar Tani Merlimau peringkat negeri Melaka di Merlimau, Jasin hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri di Melaka tidak akan menjejaskan kewangan negeri sebaliknya memberi manfaat kepada rakyat serta merancakkan ekonomi setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, dakwaan bahawa penganjuran rumah terbuka boleh membebankan kewangan negeri adalah tidak berasas kerana keadaan kewangan Melaka berada pada tahap baik.

“Apa sangatlah jamuan dibuat untuk rakyat Melaka. Insya-Allah negeri Melaka berada dalam keadaan baik, tidak bankrap dan tidak muflis hanya kerana menganjurkan rumah terbuka ini.

“Kita nak bagi rakyat makan. Kenapa nak perlu dihalang pula? Takkan nak bagi rakyat makan ini. tidak bankraplah negara ini dan juga negeri ini.

“Jadi lainlah kalau kita nak buat sambutan yang tidak bermanfaat kepada rakyat, itu mungkin kita boleh abaikan tapi bagi saya bila kita nak buat Rumah Terbuka Aidilfitri ini kita nak bagi rakyat makan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Semarak Syawal@Pasar Tani Merlimau peringkat negeri Melaka di sini hari ini.

Muhamad Akmal menyokong ketetapan yang diambil Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh untuk meneruskan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri di negeri itu bagi membolehkan orang ramai berkumpul dan menikmati juadah Aidilfitri selain membantu menggerakkan rantaian bekalan serta memberi peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan.

Dalam pada itu Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, beliau juga akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Merlimau yang dijadual berlangsung pada 4 April ini di Dataran Orang Kampung bermula 8 malam.

Beliau menjangkakan kehadiran orang ramai yang ramai pada majlis tersebut berdasarkan sambutan menggalakkan pada tahun lalu yang mencatatkan kehadiran kira-kira 45,000 pengunjung. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×