Konflik Asia Barat: Malaysia dijangka berdepan tekanan inflasi

Konflik Asia Barat: Malaysia dijangka berdepan tekanan inflasi

Malaysia dijangka berdepan tekanan kenaikan inflasi susulan gangguan rantaian bekalan tenaga global disebabkan ketegangan konflik perang antara Israel dan Amerika Syarikat (AS) dengan Iran yang sedang berlaku ketika ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Malaysia dijangka berdepan tekanan kenaikan inflasi susulan gangguan rantaian bekalan tenaga global disebabkan ketegangan konflik perang antara Israel dan Amerika Syarikat (AS) dengan Iran yang sedang berlaku ketika ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, gangguan terhadap bekalan minyak dan gas di peringkat global berpotensi memberi kesan domino kepada peningkatan kos pengeluaran, logistik serta harga barangan di pasaran.

Katanya, walaupun Malaysia berjaya mengekalkan kadar inflasi yang rendah sekitar 1.4 peratus sepanjang tahun lalu, namun perkembangan terkini geopolitik dijangka memberi tekanan baharu kepada harga barangan dalam tempoh beberapa bulan yang mendatang.

“Ketika ini, masih belum ada tanda-tanda yang akan menandakan bahawa konflik ini akan tamat.

“Justeru, kerajaan telah pun mengambil beberapa pendekatan untuk memberi jaminan bekalan minyak mencukupi, memastikan kegiatan aktiviti ekonomi masih berjalan dan aspek kesejahteraan rakyat itu terus kita pelihara sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Program Jualan Rahmah di kawasan Pangsapuri Desa Dato’ Hajjah Hasnah, di sini hari ini.

Akmal berkata, konflik di Timur Tengah boleh memberi kesan besar sekiranya berlaku gangguan terhadap laluan perkapalan utama dunia seperti Selat Hormuz.

“Gangguan terhadap bekalan minyak dan gas akan memberi implikasi langsung kepada produk berasaskan petroleum seperti petrol dan diesel.

“Selain itu, minyak juga merupakan komponen penting dalam proses pengeluaran banyak barangan, sama ada dari sudut input mahupun output. Jadi apabila berlaku gangguan bekalan, ia akan meningkatkan kos pengeluaran serta kos logistik dan rantaian bekalan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan ketika ini sedang merangka langkah terbaik bagi mengurangkan permintaan terhadap petrol termasuk cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (WFH) membabitkan penjawat awam. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×