Eksploitasi ekonomi di era digital

Eksploitasi ekonomi di era digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA berabad-abad, sistem ekonomi dunia berfungsi dengan menghasilkan barang fizikal seperti kain, kereta atau makanan di dalam ruang kilang yang mempunyai sempadan waktu kerja yang jelas. Namun, hari ini kita sedang menyaksikan satu peralihan yang paling dahsyat dalam sejarah manusia:

Penjajahan ekonomi terhadap kehidupan peribadi. Di bawah sistem ekonomi digital global, batas antara waktu kerja dan waktu rehat, serta antara ruang pejabat dan ruang rumah, telah runtuh sepenuhnya.

Apa yang lebih membimbangkan, “kehidupan” itu sendiri seperti setiap perbualan kita, setiap kegemaran kita, malah data paling peribadi kita, kini telah diubah menjadi barang dagangan (komoditi) untuk menjana keuntungan syarikat gergasi.

Ekonomi digital “merampas” ruang dan waktu manusia, serta kesan mendalamnya terhadap maruah dan identiti kita sebagai masyarakat.

Sumber Keuntungan
Dahulu, hubungan sosial adalah ruang yang bebas daripada motif keuntungan. Apabila kita berbual dengan rakan, berkongsi cerita, atau memberi sokongan emosi, ia dilakukan secara percuma dalam lingkungan peribadi.

Namun dalam era digital, setiap detik interaksi sosial manusia kini telah dipindahkan ke platform media sosial yang bermotifkan keuntungan.

Keperluan asas manusia untuk berhubung telah “dijajah” oleh pasaran. Kita dapat perhatikan di mana sekumpulan kanak-kanak sekolah yang berjalan bersama tetapi tidak berbual sesama sendiri, sebaliknya masing-masing sibuk dengan telefon pintar mereka.

Setiap minit komunikasi digital ini menjana pendapatan bagi syarikat telekomunikasi dan platform media sosial. Keperluan asas manusia untuk berhubung telah ditarik masuk ke dalam pasaran awam.

Apa yang dahulunya merupakan aktiviti percuma dalam lingkungan peribadi kini menjadi sumber pengumpulan modal.

Ini bukan sekadar tentang penggunaan peranti, tetapi tentang bagaimana pasaran “menjajah” kehidupan sosial manusia, sekaligus menghakis asas solidariti sosial tradisional kerana tumpuan manusia beralih daripada kehadiran fizikal kepada interaksi maya yang dipacu oleh algoritma.

Runtuhnya Sempadan
Salah satu kesan paling ketara dalam ekonomi digital adalah munculnya “kehidupan yang terbelah.” Dahulu, manusia mempunyai ritma harian yang stabil di mana kita tahu bila waktu bekerja bermula dan bila ia berakhir.

Kini, kewujudan teknologi maklumat membolehkan kerja mengekori kita sehingga ke bilik tidur.

E-mel dan aplikasi pesanan ringkas memastikan majikan atau klien boleh mencapai pekerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Fenomena ini mewujudkan ketegangan yang kronik dalam hidup seharian.

Sebagai contoh, seorang ibu mungkin sedang menyuapkan anaknya makan (aktiviti fizikal yang berakar), tetapi pada masa yang sama otaknya diganggu oleh notifikasi kerja di telefon (aktiviti maya).

Kita kini diharapkan untuk kekal produktif walaupun semasa sedang dalam perjalanan, berada di ruang menunggu lapangan terbang, atau semasa waktu makan malam.

Waktu yang dahulunya dikhaskan untuk keluarga atau diri sendiri kini telah diceroboh oleh logik “produktiviti.” Kehidupan manusia tidak lagi ditentukan oleh waktu tempatan, tetapi oleh zon waktu global yang tidak pernah tidur, menyebabkan keletihan mental yang luar biasa.

Data Peribadi
Dalam ekonomi tradisional, bahan mentah adalah kayu, besi, atau minyak. Dalam ekonomi digital, bahan mentahnya adalah anda.

Setiap tindakan dalam talian, daripada carian di Google hingga like di Facebook, meninggalkan jejak digital. Jejak-jejak ini bukanlah sampah digital yang tidak berguna; ia adalah bahan mentah berharga yang dilombong oleh syarikat korporat untuk membina profil pengguna yang sangat tepat.

Jejak ini dilombong, diproses dan dianalisis untuk membina profil yang boleh meramalkan tingkah laku kita.

Internet telah berubah menjadi sebuah “pusat beli-belah maya” yang luas di mana penggunanya sentiasa dihujani dengan pengiklanan yang disasarkan.

Data tentang vulnerabiliti atau kelemahan peribadi manusia digunakan oleh pengiklan untuk memujuk pengguna membeli produk yang menjanjikan “penyelesaian” kepada masalah mereka, daripada ubat kurus hingga produk kecantikan.

Di sini, nilai dihasilkan bukan melalui buruh tradisional, tetapi melalui pengekstrakan “sewa” daripada interaksi pengguna. Syarikat seperti Facebook dan Google tidak menjual produk fizikal; mereka menjual akses kepada “komoditi audiens” kepada para pengiklan.

Kehidupan seharian pengguna, secara tidak sedar, telah menjadi buruh tidak berbayar yang membekalkan data berterusan untuk memperkayakan modal kapitalis.

Buruh Percuma
Satu lagi dimensi penting dalam hilangnya batas ini ialah peralihan beban kerja daripada syarikat kepada pengguna melalui teknologi digital, atau apa yang dipanggil sebagai “kerja penggunaan” (consumption work).

Dahulunya, tugas-tugas tertentu dilakukan oleh pekerja yang dibayar gaji, seperti kerani bank atau ejen pelancongan. Namun hari ini, melalui aplikasi dan laman web, pengguna sendiri yang melakukan tugas memasukkan data, menempah tiket, atau membuat transaksi perbankan.

Secara teknikal, aktiviti ini adalah “produktif” bagi kapitalis kerana ia mengurangkan kos buruh syarikat dan meningkatkan kecekapan pengedaran. Namun, bagi pengguna, ini adalah buruh yang tidak dibayar dan sering kali dianggap sebagai “kemudahan”.

Ini menunjukkan satu lagi bentuk penjajahan waktu peribadi di mana waktu yang sepatutnya digunakan untuk santai terpaksa dialokasikan untuk menyelesaikan tugas-tugas administratif bagi pihak syarikat besar. Sempadan antara menjadi “pelanggan” dan “pekerja” telah hilang di dalam “simpulan” ekonomi digital.

Secara keseluruhannya, hilangnya batas waktu dan ruang dalam ekonomi digital bukanlah satu kemajuan teknologi yang neutral. Ia merupakan strategi ekspansi kapitalisme untuk menarik setiap detik kehidupan manusia ke dalam kitaran pengumpulan modal.

Apabila interaksi sosial kita dijana sebagai keuntungan, waktu peribadi kita diceroboh oleh tugas kerja dan data peribadi kita dilombong sebagai bahan mentah, maka “kehidupan” itu sendiri telah menjadi medan pertempuran ekonomi yang baharu.

Masyarakat harus sedar bahawa di sebalik skrin telefon yang berkilat dan aplikasi yang canggih, terdapat satu sistem yang sedang mengorek keuntungan daripada setiap detik kehidupan kita.

Kita perlu menuntut semula batas antara yang peribadi dan yang profesional. Kita perlu menyedari nilai sebenar data kita dan masa kita.

Hanya dengan memahami bagaimana kehidupan kita sedang dikomodifikasikan, kita boleh mula membina solidariti untuk menentang eksploitasi digital ini dan mengembalikan maruah manusia dalam sistem ekonomi yang semakin tidak berjiwa ini.

Masa depan kita bergantung kepada keupayaan kita untuk berkata “tidak” kepada penjajahan detik hidup oleh pasaran global. – UTUSAN

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Penolong Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN