SELAYANG: Sebanyak 300 biasiswa baharu ditawarkan Kementerian Pendidikan (KPM) kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 bagi melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Awam (UA).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu antara usaha kementerian menarik minat pelajar lepasan STPM menyertai profesion perguruan serta memperkukuh laluan akademik mereka ke peringkat universiti.
“Jadi ini yang kita sedang tumpukan perhatian untuk terus memberikan tumpuan kepada bakat-bakat berpotensi dan juga yang telah pun mencapai keputusan STPM yang baik untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ‘Malaysian University English Test’ (MUET) serta Ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2024 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Bandar Baru Selayang, semalam.
Fadhlina berkata, inisiatif itu selari dengan usaha memperkukuh sistem pendidikan negara dengan memastikan hanya mereka yang benar-benar beriltizam dan bersemangat tinggi menjadi tunjang kepada sektor pendidikan.
Tambah beliau, peluang turut diberi kepada lepasan STPM untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang selama ini hanya ditawarkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Inilah antara komitmen besar KPM untuk memastikan tingkatan enam ini terus menjadi pilihan utama pelajar pasca-SPM dan membuka laluan lebih luas kepada mereka,” katanya.
Selain itu katanya, KPM turut memperkenalkan inisiatif dermasiswa dengan rakan strategik korporat Farm Fresh.
“Inisiatif berkenaan menawarkan bantuan biasiswa RM100 sebulan kepada pelajar Tingkatan 6 dalam golongan B40. Mudahan dengan keputusan dan insentif yang lebih baik, kita akan dapat tingkatkan kualiti pelajar pada tahun akan datang,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain katanya, Majlis Tingkatan Enam akan diperkenal menjelang Oktober ini sebagai platform suara pelajar prauniversiti.
“Ia bertujuan mengukuhkan kepimpinan dan menjadi suara kepada pelajar Tingkatan 6.
“Yang pasti, mereka akan lebih dekat dengan KPM dan Menteri kerana Majlis Tingkatan 6 ini akan berada di bawah KPM sendiri,” katanya. – UTUSAN











