PETALING JAYA: Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) perlu tampil dengan pelan mitigasi dan sokongan konkrit serta latihan semula dan penempatan pekerjaan bagi pekerja Petroliam Nasional Sdn Bhd (Petronas) yang terkesan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, langkah itu berikutan keputusan Petronas untuk mengurangkan 10 peratus daripada tenaga kerjanya.
Jelasnya, nasib lebih 5,000 pekerja yang dijangka terjejas tidak boleh dipandang ringan.
“Mereka bukan sekadar statistik. Mereka adalah ibu, bapa, anak muda, pencari nafkah utama dalam keluarga. Soal rezeki dan masa depan mereka harus dibela.
“Justeru, kerajaan harus segera campur tangan dan memastikan kebajikan semua pekerja yang terlibat dijaga sebaiknya, dengan pendekatan yang adil dan berperikemanusiaan.
“Selain itu, kerajaan juga perlu melakukan audit menyeluruh dan laporan telus mengenai kedudukan sebenar Petronas dan dibentangkan kepada rakyat, memandangkan ia adalah entiti milik negara.
“Pada masa sama, satu sesi libat urus antara Petronas, kerajaan, dan kesatuan pekerja perlu diadakan segera, bagi memastikan sebarang langkah penstrukturan tidak dilaksanakan secara sepihak tanpa pertimbangan sosial yang wajar,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Petronas mengumumkan akan mengurangkan 10 peratus pekerja dengan anggaran 5,000 pekerja dalam proses penstrukturan semula syarikat minyak negara itu.
Jumlah itu jauh lebih kecil berbanding syarikat-syarikat antarabangsa yang telah melakukan pemberhentian pekerja secara besar-besaran ekoran ketidaktentuan industri minyak dan gas di peringkat global.
Akmal Saleh turut mempersoal mengapa langkah drastik tersebut diambil ketika harga minyak mentah global kekal stabil sekitar AS$65 (RM274.98) setong pada tahun ini.
Beliau merujuk kepada situasi pada 2016 apabila harga minyak jatuh lebih teruk, iaitu sekitar AS$44 (RM186.05) setong, namun Petronas hanya mengurangkan kira-kira 1,000 pekerja ketika itu.
“Kenapa kali ini pengurangan mencecah 5,000 pekerja? Malah, pada 2020 ketika harga minyak juga rendah sekitar AS$40 (RM169.10) tindakan sebesar ini tidak diambil.
“Adakah benar-benar harga minyak menjadi punca utama, atau ada faktor lain yang tidak didedahkan?
“Tambahan pula, jika sebelum ini kadar tukaran USD kepada Ringgit pada paras RM3.80 dianggap petanda ekonomi negara sedang lemah, adakah sekarang, dengan kadar tukaran mencecah RM4.75, kerajaan masih mahu meyakinkan rakyat bahawa ekonomi kita dalam keadaan baik?,” soalnya.-UTUSAN