PETALING JAYA: DAPSY Kebangsaan menggesa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh supaya meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka dan menyertai Pas.
Sayap DAP itu berkata, Muhamad Akmal seharusnya menunjukkan teladan dengan meletakkan jawatan dan menjadi perintis untuk menyertai Pas daripada terus berbicara panjang.
Katanya, kerjasama antara parti politik berdasarkan kesepakatan merupakan perkara biasa dalam politik manakala konsensus dalam kalangan parti Kerajaan Perpaduan adalah untuk mentadbir bersama sehingga tamat penggal.
“Kestabilan kerajaan amat diperlukan dalam keadaan pasca pandemik dan ketidaktentuan ekonomi. Muhamad Akmal sepatutnya menerangkan keperluan sebenar masyarakat Melayu daripada sibuk melaungkan slogan ‘perpaduan Melayu’.
“DAPSY Kebangsaan berpandangan masyarakat berbilang kaum tidak memerlukan retorik kosong, lakonan politik berlebihan atau politik perpecahan berasaskan kaum, sebaliknya memerlukan dasar kerajaan yang berkesan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Muhammad Akmal pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di ibu negara telah menggesa supaya UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.
Beliau juga berkata, penyatuan orang Melayu perlu dimulakan oleh dua parti terbesar iaitu UMNO dan PAs.
Sementara itu, DAPSY Kebangsaan turut mengingatkan kerajaan pintu belakang pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah melaungkan slogan perpaduan Melayu, namun pentadbirannya gagal sehingga rakyat terpaksa mengangkat bendera putih.
Katanya lagi, kestabilan politik hanya dicapai selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) serta melaksanakan Akta Anti-Lompat Parti.
DAPSY Kebangsaan turut mendakwa Muhamad Akmal seolah-olah melupakan hakikat bahawa UMNO sendiri pernah menjadi mangsa apabila Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) muncul sebagai pesaing terbesar dan merampas banyak kerusi daripada UMNO.
“Malah, Perikatan Nasional (PN) yang paling lantang melaungkan perpaduan Melayu kini dilihat semakin berpecah-belah.
“Malangnya, parti-parti tersebut yang sibuk berpecah dan gagal mentadbir negeri sendiri dengan baik disarankan sebagai rakan strategik oleh seorang Ketua Pemuda yang bergelar doktor.
“Hubungan rapat antara Muhamad Akmal dengan Pas sebenarnya bukan rahsia, malah beliau tidak pernah berasa malu dengan dakwaan bahawa dia bertindak seperti ejen PN. Yang peliknya para pemimpin utama dalam partinya tidak pernah menyokong atau mengesahkan pendiriannya,” katanya.
Selain itu, DAPSY Kebangsaan berpandangan slogan yang dilaungkan Muhamad Akmal hanyalah lakonan politik dan tidak akan mendapat sambutan, malah beliau seharusnya meletakkan jawatan terlebih dahulu sekiranya benar dengan pendiriannya.
“Jika tidak berani lepaskan jawatan, inilah seumpama cakap tidak serupa bikin. Yang hairannya, Muhamad Akmal sendiri tidak berani untuk melepaskan kuasa dan jawatan tetapi asyik mendesak pemimpin parti sendiri untuk keluar daripada kerajaan.
“Apabila Muhamad Akmal mengatakan dia ingin bersama dengan Pas untuk mempertahankan hak orang Melayu, adakah dia sedang menuduh seluruh kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri dan menteri besar daripada UMNO gagal mempertahankan kepentingan Melayu? Jawapannya terang lagi bersuluh.
“Oleh itu, tuduhan Muhamad Akmal yang tidak berasas ini adalah cukup teruk sekali dan maka pimpinan UMNO wajib tampil untuk menyangkal tuduhan tersebut.
“Keluarlah daripada kerajaan negeri Melaka dahulu sekiranya berani, bukannya melaungkan slogan setiap hari dan meraih simpati,” katanya. – UTUSAN










