KUALA LUMPUR: Dunia perlu berani menyeru kuasa besar yang berkuasa dan berpengaruh untuk bersuara dengan jelas serta bertindak tegas bagi mengekang ketegangan berlanjutan di Asia Barat membabitkan Israel, Iran termasuk Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan terkini di Asia Barat sangat menyedihkan selain memperlihatkan betapa mudahnya meja diplomasi diterbalikan hasil daripada keganasan terancang dan teliti.
Katanya, serangan berterusan, menghukum dan tanpa provokasi daripada Israel terhadap Iran yang dilakukan walaupun rundingan penting sedang berlangsung telah meranapkan sebarang kemungkinan kepada dialog keamanan.
Sedangkan, katanya, Malaysia menyokong pendekatan berkesan dan keamanan tanpa syarat di rantau tersebut.
“Jika kita membiarkan tindakan yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya, melanggar undang-undang antarabangsa dan merosakkan norma-norma yang menjadi asas kepada ketertiban global, maka masa depan suram menanti kita semua.
“Oleh itu, kita perlu berani menyeru kepada mereka yang mempunyai kuasa dan pengaruh agar bersuara dengan jelas dan bertindak tegas untuk mengekang sebarang peningkatan konflik (di Asia Barat),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya di Persidangan Meja Bulat Asif Pasifik Ke-38 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, seperti di Gaza, banyak pihak mempersoalkan tindakannya mengulangi pendirian Malaysia berhubung wilayah tersebut namun menurutnya, konflik di tanah yang jauh itu tetapi kesannya terasa luas.
Katanya, dari bandar hingga ke desa, rakyat mengharapkan kerajaan bersuara, mengorak langkah malah ada yang menyeru supaya tindakan lebih drastik diambil.
“Namun paling utama perlu lakukan ialah menyuarakan kebimbangan kita, menyeru agar kewarasan mengatasi kemarahan kerana serangan tanpa henti yang terus dilakukan terhadap penduduk tidak bersenjata dan menanggung penderitaan kemanusiaan yang tidak terperi langsung tidak dapat diterima akal.
“Jumlah korban awam yang sangat tinggi setiap hari majoritinya wanita dan kanak-kanak, menuntut lebih daripada sekadar kenyataan simpati.
“Ia menuntut tindakan antarabangsa yang bersatu untuk menegakkan undang-undang kemanusiaan, memastikan gencatan senjata segera, dan membenarkan bantuan kemanusiaan disampaikan tanpa halangan kepada mereka yang sangat memerlukan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sama seperti ketegangan tidak berkesudahan antara Pakistan dan India yang kekal rapuh namun masa depan tidak hanya bergantung kepada ‘luka’ lama tetapi kepada pilihan terhadap kestabilan atau terus ke ambang malapetaka.
Katanya, di kawasan lain serta Asia Pasifik, tekanan sama sedang berlaku dengan jalan cerita berbeza seperti di Selat Taiwan, Semenanjung Korea dan Laut China Selatan iaitu titik panas yang pada bila-bila masa boleh mencetuskan konflik.
“Maka di sinilah, seperti biasa, kita mesti berpegang pada keutamaan dialog berbanding ketegangan, undang-undang berbanding kekacauan, dan kawalan diri berbanding peningkatan konflik.
“Malaysia percaya bahawa masa depan rantau ini tidak terletak pada blok-blok yang keseimbangannya rapuh, tetapi pada keselamatan yang inklusif, dapat diramalkan, dan pendirian tidak berpihak secara aktif bukan sekadar diterima, tetapi digalakkan untuk berkembang,” katanya. – UTUSAN