PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahun di saat dunia sedang menghadapi krisis tenaga yang semakin meruncing dan konflik di Asia Barat yang memuncak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga tidak terkecuali daripada implikasi apabila dunia kini sedang memasuki fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu.
Kata beliau, negara tidak boleh alpa atau terlalu selesa, sebaliknya mesti bersiap-siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi.
“Dalam mengakui cabaran ini, saya ingin menegaskan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan.
“Kerajaan Madani akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan untuk meneliti secara mendalam perkembangan krisis tenaga global yang kian meruncing serta implikasinya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Anwar mengajak seluruh rakyat untuk memperkukuh ekonomi domestik dalam keadaan yang tidak menentu ini.
Katanya, barangan tempatan perlu diutamakan dan usahawan perlu disokong oleh semua kerana kekuatan dalaman merupakan benteng utama dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
“Insya-Allah, setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat.
“Kerajaan akan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik, serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan,” katanya.-UTUSAN










