Sistem pendidikan negara bantu bina masa depan lepasan SPM

Sistem pendidikan negara bantu bina masa depan lepasan SPM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang kurang bernasib baik digesa untuk tidak berputus asa dan terus mengorak langkah bagi mencapai kecemerlangan dalam kehidupan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjalanan anak-anak itu masih panjang dan mempunyai ruang untuk memperoleh kejayaan dan kecemerlangan.

Beliau berkata, sistem pendidikan negara akan membantu mereka dalam setiap langkah diambil demi membina masa depan yang cemerlang.

“Bagi yang kurang bernasib baik, usah berputus asa. Perjalanan ini masih panjang dan ruang untuk bangkit sentiasa terbuka buat mereka yang terus berusaha tanpa kenal lelah.

“Sistem pendidikan negara tersedia untuk menyokong setiap langkah. Masa depan tidak ditentukan oleh satu keputusan, tetapi oleh kesungguhan untuk terus melangkah dan berjaya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hari ini, media melaporkan, keputusan peperiksaan SPM 2025 mencatatkan pencapaian terbaik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42 berbanding 4.49 pada 2024.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata sebanyak 366,435 calon atau 94.29 peratus layak diberikan sijil SPM pada 2025 berbanding 355,933 calon pada 2024.

Katanya, analisis keputusan SPM 2025 menunjukkan pencapaian calon yang memberangsangkan, sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan akses pendidikan yang inklusif dan berkualiti dalam menyokong aspirasi Malaysia Madani

Sementara itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada semua lepasan SPM yang menerima keputusan cemerlang.

“Terus melangkah dengan tekad dan keyakinan untuk melakar kecemerlangan di peringkat lebih tinggi, seterusnya menyumbang kepada pembinaan negara yang berteraskan ilmu, nilai dan keinsanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN