KUANTAN: Tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bermula RM60 bagi laluan Gombak-KotaSAS, di sini disifatkan berpatutan dan mampu dinikmati golongan berpendapatan rendah (B40).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yakin kadar tambang berkenaan ditetapkan selepas mengambil kira kajian bagi memastikan ia bersesuaian dengan kemampuan pengguna.
“Tambang ECRL juga tidak jauh berbeza berbanding perkhidmatan bas manakala kos perjalanan menggunakan kapal terbang adalah lebih tinggi. Kita rasakan ia berpatutan dan mampu dibayar oleh mereka yang berpendapatan B40 pun saya fikir mampu.
“Saya dapati dalam media sosial tiada komen negatif pun berhubung tambang itu. Malah, ramai yang menyambut baik,” katanya selepas menghadiri Majlis Apresiasi sempena Tamat Kursus Pelatih Akademi Rel Pahang (ARP) Program PLKI-ECRL Sesi 2025/26 di Kompleks Yayasan Pahang. di sini hari ini.
Pada 19 Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak memaklumkan Jemaah Menteri meluluskan diskaun 50 peratus kepada kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun, warga emas berusia 60 tahun ke atas, pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dan pesara kerajaan.
Pelajar berusia 13 hingga 24 tahun pula layak menikmati diskaun sebanyak 40 peratus. Bagi kelas ekonomi, tambang laluan Gombak-Kota Bharu bermula RM125 sehala bagi perkhidmatan transit dan RM147 untuk ekspres, manakala laluan Gombak-Kuala Terengganu masing-masing bermula RM95 dan RM110.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, seramai 47 pelatih Akademi Rel Pahang menamatkan latihan teknikal selama setahun di China sebelum ditawarkan pekerjaan oleh MRL.
Menurutnya, program hasil kerjasama kerajaan negeri, MRL, Universiti College Yayasan Pahang (UCYP) dan Yayasan Pahang itu bertujuan menyediakan tenaga kerja mahir sebelum ECRL mula beroperasi.
Beliau berharap anak jati Pahang diberi keutamaan untuk mengisi peluang pekerjaan di tujuh stesen ECRL di negeri ini, selain menyatakan kesediaan kerajaan negeri membantu membiayai kursus lanjutan mengikut keperluan MRL. – UTUSAN











