PETALING JAYA: Kerajaan mengekalkan bantuan BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) sebanyak RM300 sebulan bagi April 2026 sebagai langkah melindungi rakyat dalam keadaan pasaran tenaga global yang semakin tidak menentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan tambahan interim sebanyak RM100 turut diteruskan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bagi kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi kekal sebanyak RM300 sebulan.
Katanya, bantuan itu yang akan disalurkan bermula 8 April ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 340,000 penerima dengan peruntukan sekitar RM102 juta.
“Kerajaan peka dan prihatin terhadap tekanan yang dihadapi oleh rakyat susulan kenaikan harga bahan api global.
“Langkah ini dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan pengguna diesel khususnya individu serta sektor agri-komoditi, supaya terus menerima sokongan serta melindungi mereka dari terdedah sepenuhnya kepada kenaikan harga bahan api global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, BUDI Diesel yang diperkenalkan sejak Mei 2024 telah membantu meringankan kos sara hidup dengan jumlah bantuan tunai mencecah RM1.12 bilion.
Katanya, pendekatan bersasar itu memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, selain mengekalkan disiplin fiskal negara dalam keadaan tekanan global yang berterusan.
“Selain langkah interim ini, kerajaan juga sedang mempertimbang langkah-langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan sistem subsidi kekal mampan, telus dan terus
memanfaatkan rakyat.
“Kerajaan terus memantau rapi perkembangan pasaran tenaga global dan bersedia mengambil langkah tambahan dengan segera bagi memastikan bekalan kekal stabil dan mencukupi.
“Penguatkuasaan juga dipertingkat bagi membendung penyelewengan dan memastikan subsidi sampai kepada kumpulan sasar,” katanya. – UTUSAN










