KOTA TINGGI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak langsung memikirkan soal tarikh pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang susulan konflik dunia semasa yang turut menjejaskan ekonomi negara dan masyarakat tempatan.
Sebaliknya, Perdana Menteri memberitahu, fokus beliau dan barisan Kabinet adalah untuk memastikan kesan minimum terhadap kesejahteraan hidup pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.
Menurutnya, setiap kampung di Malaysia akan terkesan dengan peningkatan harga barangan global khususnya dalam tempoh beberapa bulan akan datang sekiranya konflik yang dimulakan Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran terus berlarutan.
“Kita sedang bekerja tidak perlu fikirkan pilihan raya, lambat lagi. Sebaliknya kita tumpukan kepada perkara ini dan cuba cari penyelesaian. Setakat ini setiap bulan kerajaan tanggung sebanyak RM6 bilion subsidi tambahan sejak perang bermula.
“Perang di Iran ini ada kesan kepada kita, tetapi kita masih perlu bersyukur, Alhamdulillah. Tidak banyak negara termasuk negara Islam yang berani nyatakan sokongan terhadap Iran. Tetapi kita telah bincang dengan jemaah menteri bahawa Malaysia negara berdaulat, sebab itu kita sokong perjuangan Iran menentang Israel dan AS.
“Saya tidak mahu orang fikir kita tidak terkesan, sebaliknya kita perlu tahu apa yang sedang berlaku. Sekarang orang tahu kita ada hubungan baik dengan Iran, di mana saya boleh hubungi Presiden Iran untuk bantu memudahkan pergerakan tujuh kapal Malaysia di Selat Hormuz,” katanya.
Beliau berucap pada Program Perdana Menteri Bersama Warga Peneroka Felda di Felda Semenchu, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Anwar turut menempelak tindakan sesetengah pihak yang mengkritik tindakan kerajaan menaikkan harga bahan api petrol dan diesel pada ketika majoriti kerajaan seluruh dunia berdepan isu kekurangan bekalan sehingga catuan terpaksa dibuat.
“Ada pembangkang kritik, kapal lepas (Selat Hormuz) tetapi harga masih mahal, memanglah mahal kerana tambang dan insurans semua naik tetapi sekurang-kurangnya kita ada bekalan minyak, negara lain ada yang tiada minyak.
“Jika ikut geram saya, bagi mereka yang cakap banyak itu jangan bagi minyak, baru mereka naik minyak agaknya,” katanya sambil memberitahu kerajaan akan mempertahankan subsidi bahan api yang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat. – UTUSAN










