JOHOR BAHRU: Mohd. Shah Penilzain Mohamed Said, 45, akui tidak kuat untuk menerima kehilangan anak tunggalnya, Nurul Atikah Najihah, 18, yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Kelantan kelmarin.
Mohd. Shah Penilzain berkata, kehilangan anak tunggalnya itu memberi kesan besar buat dirinya kerana Nurul Atikah Najihah seorang yang baik dan manja.
“Saya terima berita kemalangan itu pada pukul 5 petang, kelmarin ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Putrajaya. Saya tidak tahu nak kata apa, rasa lemah, saya tak kuat.
“Sehari sebelum dia pergi, saya ada hubungi melalui panggilan video. Itu kali pertama saya video call mereka berdua suami isteri, rasa pelik tetapi tak sangka itu panggilan terakhir,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Shah Penilzain, semasa panggilan video tersebut, anaknya ada beritahu dia membeli makanan tradisional jawa yang kerap ayahnya belikan semasa dia masih kecil dahulu.
“Dia tanya saya, ayah ingat tak dulu ayah ada beli nasi kepal, saya jawab ya ingat. Kemudian dia kata dia sudah beli dan makan, murah dan sedap katanya. Itu antara perbualan akhir kami.
“Sampai sekarang saya masih rasa tak kuat kehilangannya, tetapi saya reda dengan pemergian dia,” ujarnya.
Sementara itu, Bapa Muhammad Faris, Kamaludin Abdullah, 52, pula memberitahu, itu merupakan kali pertama anak ketiga daripada tujuh beradik itu kali pertama memandu jauh sehingga ke Kelantan.
“Sebelum ini arwah tidak pernah memandu jauh. Saya dimaklumkan dia habis kerja pukul 11.30 malam sebelum sejam kemudian dia maklumkan mahu gerak ke Kelantan.
“Ini merupakan kehilangan besar buat saya sekeluarga, sedih tidak tahu hendak gambarkan. Semasa perjalanan menuntut jenazah pun fasa sedih, ibunya sehingga pengsan tetapi kami sekeluarga reda,” jelasnya. – UTUSAN