‘Anak-anak masih rindu papa’

‘Anak-anak masih rindu papa’

Rindu
NURUL Nadia Abdul Majid bersama Nur Humaira ditemui ketika menerima kunjungan Mohammed Azman Aziz Mohammed dekat kediamannya di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sehingga kini anak-anak Allahyarham Amirul Hafiz Omar masih belum dapat menerima sepenuhnya pemergian bapanya itu yang meninggal dunia akibat kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang, pada Ahad lalu.

Menurut ibu mereka, Nurul Nadia Abdul Majid, anak pertama dan keduanya, Muhammad Aqif Amsyar dan Muhammad Afif Izz Rayqal masih menziarahi pusara arwah ayah mereka sehingga hari ini.

“Masih merindui papa mereka, setiap hari ziarah pusara. Kebetulan pula tanah perkuburan terletak tidak jauh dari rumah di kampung.

“Ketika ini anak pertama dan kedua tinggal dengan nenek mereka sementara saya uruskan pertukaran sekolah mereka,” katanya ditemui ketika menerima kunjungan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, hari ini.

Dalam pada itu, Nurul Nadia, 33, memberitahu dia menghargai sumbangan dan sokongan yang diterima daripada pelbagai agensi termasuklah Perkeso, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta individu persendirian.

“Saya amat bersyukur dengan sumbangan dan sokongan itu saya boleh jadi kuat demi anak-anak. Semua sumangan itu, alhamdulillah, ia semua adalah untuk anak-anak.

“Semalam, saya terima kunjungan daripada pendakwah selebriti, Haris Ismail atau PU Riz yang menyerahkan tiga basikal untuk anak-anak. Bila saya beritahu, mereka semua gembira dapat basikal,” ujarnya.

Terdahulu, Amirul Hafiz, 33, menemui ajal ketika keluar membeli buku teks matematik anaknya apabila dirempuh pemandu mabuk yang memandu Honda City, pada Ahad lalu.

Pemergiannya meninggalkan seorang balu dan tiga anak, dua daripadanya itu berusia sembilan dan tujuh tahun sementara anak ketiga, Nur Humaira pula dua tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN