JOHOR BAHRU: Dua rakan maut manakala seorang lagi parah selepas kereta Perodua Ativa dinaiki mereka terbabas dan merempuh tembok konkrit di Susur Kilometer 14, Lebuhraya Iskandar Sultan di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, pemandu lelaki berusia 19 tahun dan penumpang hadapan remaja perempuan berusia 16 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.
Seorang lagi penumpang lelaki berusia 18 tahun yang duduk di belakang cedera parah di tangan kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 4.25 pagi sebelum siasatan awal dijalankan.
Beliau berkata, kereta dinaiki tiga rakan itu dipercayai bergerak dari Johor Bahru menghala ke Tampoi sebelum pemandu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok konkrit di sebelah kiri jalan.
Katanya, kedua-dua mangsa maut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Zulhisyam Aziz di talian 019-7432966.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh pihak polis dan semua bukti dikumpul di lokasi kejadian tersebut. – UTUSAN










