KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya hampir mengejutkan pasukan di ranking ke-72 dunia, Cape Verde apabila mengikat pasukan itu 1-1 pada aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Malaysia yang berada di tangga ke-132 dunia bagaimanapun memilih untuk menurunkan tujuh pemain tempatan membarisi kesebelasan utama dan ia jelas keputusan berani diambil oleh pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Kepercayaan yang diberikan oleh Cklamovski kepada barisan kesebelasan utama itu nyata tidak mengecewakan apabila mereka memperagakan aksi ‘melawan’.
Skuad kebangsaan tidak menunggu nama untuk menguji gawang Cape Verde seawal minit ketujuh menerusi percubaan kencang pemain warisan, Gabriel Palmero namun singgah di tiang.
Begitupun, menerusi satu serangan balas pantas skuad kendalian Pedro Bubista Brito berjaya membuka tirai jaringan pada minit kesembilan hasil rembatan kencang kaki kanan Sidny Cabral yang menggegar jaring belakang skuad kebangsaan.
Arif Aiman Hanapi juga beberapa kali melakukan percubaan tetapi masih belum mampu menewaskan penjaga gol lawan, Josimar Dias.
Kedua-dua pasukan terus mempamerkan aksi menghiburkan dihadapan lebih 5,000 penyokong yang hadir ke stadium apabila mereka saling menyerang tetapi gagal menghasilkan gol.
Bersambung babak kedua, skuad negara terus meningkatkan tempo permainan apabila melakukan serangan bertali arus menyaksikan pertahanan Cape Verde dipaksa bekerja keras.
Faisal Halim hampir menyamakan kedudukan tetapi percubaan kencangnya pada minit ke-60 berjaya dinafikan Josimar Dias dan penjaga gol Cape Verde terus dipaksa bekerja keras tetapi masih mampu memastikan gawangnya tidak dibolosi.
Kemasukan Paulo Josue sebagai pemain gantian nyata memberi impak apabila tidak menunggu lama untuk merobek gawang lawan pada minit ke-79.
Gol itu menyuntik semangat barisan pemain Harimau Malaya apabila terus mengasak benteng Cape Verde dengan beberapa percubaan berbahaya namun ketangkasan Josimar Dias berjaya menyelamatkan pasukannya daripada dimalukan oleh Malaysia.
Keputusan itu, sekali gus bakal menambah kutipan mata buat Malaysia dalam kedudukan ranking dunia dan memberi pengalaman berharga buat barisan pemain negara.-UTUSAN