Perhalusi cadangan institusi raja terajui FAM

Perhalusi cadangan institusi raja terajui FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan agar institusi diraja kembali menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu dinilai secara menyeluruh berasaskan rea­liti bola sepak moden, bukan bersandar pengalaman ke­dudukan yang pernah disandang.

Peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurrashid menyentuh sensitiviti penglibatan institusi raja dalam kepimpinan FAM dengan menegaskan bahawa prestasi pasukan kebangsaan sering menjadi sasaran kritikan awam.

“Adalah lebih wajar untuk memelihara martabat institusi diraja. Jawatan seperti Presiden FAM lebih sesuai disandang individu awam supaya institusi raja tidak terheret dalam polemik pentadbiran sukan.

“Cadangan agar kepimpinan lama kembali menerajui FAM perlu dinilai dengan mengambil kira perubahan besar dalam landskap bola sepak global.

“Bola sepak hari ini menuntut pemahaman mendalam terhadap sistem pelesenan, pembangunan akar umbi berasaskan kelab, serta perancangan jangka panjang yang berteraskan prestasi dan tadbir urus moden.

“Pengalaman dan gelaran semata-mata tidak lagi mencukupi. Kepimpinan yang benar-benar memahami realiti semasa bola sepak profesional dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan adalah lebih relevan daripada nostalgia masa lalu,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Beliau tidak menafikan keberkesanan penglibatan institusi raja dalam badan induk itu, namun impak sebenar terhadap prestasi bola sepak negara perlu diperhalusi secara objektif.

“Pengalaman pentadbiran itu memang penting tetapi persoalan utamanya ialah sejauh mana tempoh tersebut memberi kesan nyata kepada prestasi skuad Harimau Malaya,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Persa­tuan Bola Sepak Melayu Malaysia Kelantan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah paling layak mengemudi FAM dalam usaha menyelamatkan dan memulihkan imej badan induk bola sepak negara itu.

Beliau turut mengulas dakwaan persatuan bola sepak negeri lemah kerana perubahan kepada model kelab, sebaliknya Zhafri menyifatkan pandangan itu tidak selari dengan realiti bola sepak moden.

“Peralihan kepada kelab profesional bukan kelemahan, sebaliknya keperluan di bawah sistem pelesenan kelab AFC bagi memastikan tadbir urus, kewangan dan pembangunan belia mengikut standard antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN