Palmero sertai Kuching City?

Palmero sertai Kuching City?

Gabriel Palmero mengawal bola daripada dirampas pemain Singapura, Muhammad Shawal Anuar dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertahanan warisan Harimau Malaya, Gabriel Palmero kini hangat dikaitkan dengan penghijrahan ke Kuching City FC yang dikendalikan Aidil Sharin Sahak selepas hukuman terhadapnya ditangguhkan.

Ketika ini, Palmero tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas ditamatkan kontrak oleh pasukan lamanya, CD Tenerife selepas digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan hukuman itu, Palmero dan enam lagi pemain warisan bebas turun beraksi bersama kelab masing-masing sehingga keputusan muktamad 26 Februari ini.

Bagaimanapun, Palmero tidak dapat turun beraksi kerana tidak mewakili mana-mana kelab sejak November lalu dan jika benar dirinya bakal menyertai Kuching City, ia pasti menjadi khabar terbaik buat pertahanan warisan itu.

Menguatkan lagi spekulasi itu, Aidil Sharin sebelum ini pernah menyatakan ada pemain Malaysia dari luar negara bakal memperkuat The Cats untuk hadapi baki aksi Liga Malaysia (Liga M).

“Mungkin akan ada seorang lagi pemain tempatan, tetapi ini bergantung kepada bajet dan apa yang boleh saya katakan, pemain itu merupakan pemain tempatan yang kini beraksi di luar negara,” ujar Aidil Sharin pada 16 Januari lalu.

Setakat ini, Kuching City hanya membawa masuk Ariff Farhan dari Penang FC serta pemain tengah Jordan, Ahmad Israiwah ketika jendela perpindahan kedua yang telah ditutup pada 1 Februari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×