Hak pilih Exco FAM milik ahli gabungan, bukan orang luar

Hak pilih Exco FAM milik ahli gabungan, bukan orang luar

Dollah Salleh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proses pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kembali menjadi perbualan hangat apabila wujud suara-suara luar yang dilaporkan tidak mahu individu lama diberi ruang memimpin badan induk bola sepak negara itu.

Bekas Naib Presiden FAM, Datuk Dollah Salleh tampil mempertahankan prinsip asas pemilihan dengan menegaskan bahawa hak mutlak menentukan calon yang layak bertanding terletak sepenuhnya di tangan ahli gabungan, bukan pihak luar.

Menurut beliau, sebarang cubaan campur tangan daripada pihak yang tidak berkepentingan hanya akan mengganggu proses pemilihan yang telah ditetapkan mengikut perlembagaan badan induk itu.

“Benda ini yang menentukan bukan siapa-siapa, ahli gabungan yang menentukan. Kalau ada orang luar nak sibukkan, itu bukan urusan mereka.

“Kalau rasa layak, sila bertanding, tapi semua tertakluk kepada ahli gabungan. Jangan ganggu proses yang telah ditetapkan,” katanya.

Bekas pemain dan jurulatih kebangsaan itu, turut menegaskan bahawa kerusi Exco bukan ditentukan oleh sentimen atau persepsi pihak tertentu, sebaliknya melalui sokongan rasmi ahli gabungan yang mempunyai hak mengundi.

“Kalau ada yang nak pertikaikan, silakan. Tapi benda ini bukan untuk orang luar campur tangan. Kami buat semua ini untuk FAM, bukan untuk kepentingan diri sendiri.

“Kalau diberi peluang bertanding semula pun, itu semua terpulang kepada ahli gabungan, bukan kami yang tentukan,” ujarnya.

Mengulas pembabitannya dalam pentadbiran FAM, Dollah menegaskan beliau bukan mengejar jawatan, sebaliknya sanggup berkorban masa dan tenaga demi memulihkan serta menyelamatkan imej badan induk bola sepak negara.

Tambahnya, bukan mudah untuk memegang jawatan dalam FAM dan setiap tanggungjawab yang dipikul dilaksanakan dengan penuh amanah.

“Kami sanggup berkorban. Kalau nak tahu, kami boleh duduk sampai 2029, tapi sebab nak selamatkan FAM, kami rela duduk berbincang, membantu apa yang patut.

“Bukan mudah nak dapat jawatan ni, jadi kami lakukan semuanya dengan penuh tanggungjawab,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dollah tidak menyembunyikan rasa kecewa terhadap segelintir pihak yang dilihat cuba memperlekehkan sumbangan mereka, walaupun masih baharu dalam arena pentadbiran bola sepak.

Tambahnya, biarpun diberi peluang untuk bertanding semula, kemenangan bukan sesuatu yang terjamin kerana keputusan akhir tetap berada di tangan ahli gabungan.

“Betul-betul saya tak faham kenapa ada unsur iri hati. Sedangkan kami berkorban. Ingat senang ke nak dapat jawatan itu,” tegasnya.

Terdahulu, timbul cadangan supaya FAM melakukan rombakan besar-besaran menjelang pemilihan baharu, termasuk gesaan agar individu lama tidak lagi diberi peluang merebut jawatan Exco, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN