Li Jane hampir cipta sejarah di AS

Li Jane hampir cipta sejarah di AS

SIN Li Jane (kanan) meraih tempat kedua manakala Nur Hazirah Ramli mendapat tempat ketiga pada Jelajah Profesional Boling Wanita (PWBA) Kejohanan USBC Queens di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS), semalam. - FOTO IHSAN PWBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ratu boling negara, Sin Li Jane hampir mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama menawan gelaran ‘Triple Crown’ dalam Jelajah Profesional Boling Wanita (PWBA) sebelum terkandas di final Kejohanan USBC Queens di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).

Pemain berusia 33 tahun itu tewas 198-211 kepada pilihan utama tuan rumah, Josie Barnes dalam perlawanan penentuan yang berlangsung di Suncoast Bowling Centre, semalam.

Atlet kelahiran Ipoh, Perak itu sebelum ini sudah merangkul dua mahkota utama iaitu Terbuka Wanita AS dan Kejohanan Jelajah PWBA musim lalu, dan kemenangan di Queens bakal melengkapkan koleksi berprestij itu.

Bagaimanapun, aksi konsisten yang ditampilkan sepanjang kejohanan sudah cukup membuktikan kematangan dan daya juangnya apabila kemenangan hanya disahkan pada balingan terakhir.

“Saya bangga dengan apa yang saya capai dalam kejohanan Queens ini. Banyak perlawanan saya menang sehingga ke frame terakhir. Ia satu kejohanan yang sangat mencabar. Layak ke final TV (lima teratas) sudah satu pencapaian besar.

“Secara peribadi, dalam tempoh sebulan saya menang Terbuka Malaysia, tempat keenam di Topeka dan sekarang naib juara di Queens. Sebagai pemain boling, ini adalah kedudukan yang sangat membanggakan,” kata Li Jane.

Untuk rekod, kali terakhir Li Jane mara ke final kejohanan ini ialah pada edisi 2016, namun pencapaian kali ini lebih manis apabila rakan senegara, Nur Hazirah Ramli turut menghadirkan kejutan dengan meraih tempat ketiga.

Hazirah yang membuat penampilan sulung dalam kejohanan itu, tunduk 211-235 kepada Li Jane dalam separuh akhir selepas menunjukkan persembahan luar biasa selaku pilihan kedua.

Li Jane membawa pulang AS$ 30,000 (RM128,500) manakala Hazirah meraih AS$ 22,000 (RM94,200). Selepas ini, kem kebangsaan memberi tumpuan kepada tiga lagi siri Jelajah PWBA musim panas bermula hujung bulan ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN