Rakyat Kelantan serbu Thailand sempena cuti Hari Pekerja

ICQS sesak, rakyat Kelantan serbu Thailand sempena cuti Hari Pekerja

ORANG ramai berpusu-pusu untuk urusan imigresen ke Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan semalam. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini kembali sesak apabila warga rakyat Kelantan memilih makan angin di Thailand sempena cuti Hari Pekerja dan hujung minggu.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, kesesakan lalu lintas lebih satu kilometer itu berlaku seawal pukul 7 pagi yang mana situasi itu berbeza beberapa minggu lalu terutama selepas insiden letupan bom yang sering berlaku di negara Gajah Putih berkenaan.

Seorang pelancong, Suhaila Yakoob, 38, berkata, dia mengambil lebih satu jam untuk melepasi kekesakan di ICQS Rantau Panjang bagi menyelesaikan urusan mengecop pasport.

“Walaupun sudah turun awal dari rumah, sebaik sahaja tiba di persimpangan lampu isyarat menuju ke ICQS Rantau Panjang jalan mulai sesak. Semua rasa penat akan hilang apabila berjaya masuk ke Thailand,” katanya.

Bagi Nurul Ain Mat Razi, 30, pula, dia sudah menjangkakan kesesakan luar biasa berlaku di ICQS Rantau Panjang memandangkan cuti panjang sempena Hari Pekerja.

Katanya, dia dan suaminya memilih ke negara jiran itu dengan menaiki motosikal untuk makan-makan di sekitar Narathiwat.

Sementara itu, Mohamad Haikal Rahman, 39, yang kali pertama ke Thailand mengakui terkejut melihat keadaan tersebut.

Katanya, dia terpaksa menunggu hampir sejam untuk melepasi kesesakan ini.

“Walaupun terpaksa menempuh kesesakan, saya seronok kerana merupakan pengamalan baharu buat saya yang kali pertama melancong ke Hatyai,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, penyedia perkhidmatan pelancongan ke Hatyai dan Thailand mengakui permintaan warga tempatan untuk makan angin ke negara Gajah Putih semakin merosot ekoran kejadian letupan bom yang sering berlaku di negara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Eniq World Travel Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Rowi Dollah berkata, kejadian itu memberi impak kurang baik kepada sektor pelancongan.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN