NEW YORK: Pemain tenis legenda Amerika Syarikat (AS), Serena Williams berkata dia akan digantung selama 20 tahun dan dilucutkan kesemua gelaran Grand Slam sekiranya gagal ujian doping seperti pemain No.1 dunia lelaki, Jannik Sinner.
Sinner menerima penggantungan selama tiga bulan pada Februari lalu selepas mencapai persetujuan dengan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), yang mencabar keputusan tribunal bebas yang membebaskannya selepas dua ujian positif bagi agen anabolik clostebol.
“Saya suka dia, saya suka sukan ini. Dia bagus untuk sukan ini. Saya telah banyak dijatuhkan, jadi saya tidak mahu menjatuhkan sesiapa. Tenis lelaki memerlukan dia.
“(Tetapi) jika saya yang melakukannya, saya akan dikenakan hukuman 20 tahun. Mari kita jujur. Gelaran Grand Slam saya pasti akan ditarik balik,” kata Williams, yang bersara pada 2022 selepas memenangi 23 trofi Grand Slam, kepada Time Magazine.
Juara bertahan Terbuka Australia dan Terbuka AS, Sinner, yang penggantungannya akan berakhir pada 4 Mei, sentiasa menegaskan bahawa dirinya tidak bersalah walaupun kesnya menimbulkan persoalan sama ada dia menerima layanan istimewa daripada pihak berkuasa.
Kes Iga Swiatek juga menimbulkan kejutan apabila pemain nombor dua dunia wanita itu menerima penggantungan satu bulan pada November lalu selepas didapati positif bahan terlarang trimetazidine.
Bekas pemain nombor satu dunia, Simona Halep, turut digantung walaupun menafikan secara sengaja mengambil dadah terlarang roxadustat.
Penggantungan selama empat tahunnya dikurangkan kepada sembilan bulan pada tahun 2024 selepas rayuan di mahkamah sukan tertinggi.
Williams juga berkata dia sangat berhati-hati dengan apa yang dimasukkan ke dalam tubuhnya sepanjang kariernya kerana khuatir mungkin secara tidak sengaja mengambil sesuatu yang boleh menjerat dirinya. – AGENSI