Kucing anggap bau pemilik sebagai tempat selamat

Kucing anggap bau pemilik sebagai tempat selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi seekor kucing, bau pemilik bukan sekadar sesuatu yang dikenali, tetapi menjadi asas kepada rasa selamat, kepercayaan dan hubungan emosi antara haiwan dan manusia.

Ini dapat dilihat melalui tingkah laku kucing yang gemar menghidu atau tidur pada pakaian dan barangan pemilik sebagai tanda mereka tertarik kepada bau yang dikenali dan menenangkan.

Doktor perubatan veterinar, Dr. Wafaa Abdul Washeff berkata, kucing mempunyai deria bau yang jauh lebih sensitif dan cekap berbanding manusia, menjadikan bau sebagai medium utama mereka memahami dunia sekeliling.

“Kucing mempunyai kira-kira 200 juta reseptor bau, berbanding manusia hanya sekitar enam juta. Setiap individu pula mempunyai bau tersendiri, sama ada manusia atau haiwan,” katanya kepada Seri.

Menurut beliau, bau unik ini dikenali sebagai “odorprint”, iaitu gabungan kompleks ribuan molekul daripada peluh, sel kulit dan bakteria yang bertindak seperti cap jari.

“Melalui odorprint ini, kucing dapat mengenal pasti penjaga mereka. Bau yang sudah biasa akan dianggap sebagai ‘biasa’ dan tidak mengancam, sekaligus memberikan rasa selamat,” jelasnya.

Namun, bau sahaja tidak mencukupi untuk memberikan rasa selesa sepenuhnya kepada haiwan peliharaan.

Kajian oleh Universiti Negeri Oregon pada tahun 2021 mendapati, kucing lebih tenang, yakin dan kurang resah apabila pemilik hadir secara fizikal berbanding hanya bergantung kepada objek yang mempunyai bau pemilik.

Dalam kajian tersebut, 42 ekor kucing diuji dalam tiga situasi iaitu kehadiran pemilik, kewujudan objek dengan bau pemilik dan ketiadaan kedua-duanya.

“Hasilnya menunjukkan kehadiran pemilik memberi kesan paling besar terhadap emosi kucing. Objek berbau pemilik hanya membantu sedikit, manakala ketiadaan kedua-duanya menyebabkan kucing lebih resah,” katanya.

Tambahnya, kucing yang berkarakter tenang dan mesra didapati lebih mudah menyesuaikan diri dan meneroka persekitaran, berbanding kucing yang pemalu dan suka bersendiri yang lebih mudah menunjukkan keresahan.

Suka bau ‘dikenali’

Menurut Dr. Wafaa, kecenderungan kucing untuk tidur di atas pakaian pemilik berkait rapat dengan faktor bau yang sudah dikenali dan dianggap selamat oleh mereka.

“Bau pemilik yang terdapat pada pakaian memberi rasa selamat kerana ia sudah ‘didaftarkan’ dalam memori kucing sebagai sebahagian daripada kawasan yang mereka anggap selamat,” katanya.

Selain bau pemilik itu sendiri, faktor seperti jenis bahan dan lokasi pakaian turut mempengaruhi keselesaan kucing ketika berehat di atasnya.

Baju yang belum dipakai biasanya mempunyai bau pencuci yang lebih kuat.

Bau ini boleh menjadi terlalu asing atau kuat bagi kucing, sekali gus menyebabkan mereka kurang selesa berbanding pakaian yang sudah dipakai dan mempunyai bau semula jadi pemilik.

Peranan bau dalam ikatan emosi

Dalam pada itu, bau memainkan peranan penting dalam membentuk ikatan emosi antara kucing dan penjaganya.

“Kucing mengenali pemilik sebagai individu yang bukan ancaman, malah sebagai sumber makanan, perlindungan dan rasa selamat melalui pengalaman yang dikaitkan dengan bau tersebut,” katanya.

Bagi anak kucing, kebergantungan terhadap bau adalah jauh lebih tinggi pada peringkat awal kehidupan.

“Jika dijaga oleh ibu, bau ibu akan menjadi rujukan utama. Jika dibesarkan oleh manusia, bau manusia itu yang akan diingati,” jelasnya.

Tambah beliau, anak kucing juga mengenali gabungan bau sarang atau tempat tinggal sebagai sumber keselamatan.

“Apabila dipindahkan jauh dari sarang, mereka akan mula mengiau kerana bau yang biasa mereka kenali semakin hilang. Semakin jauh, semakin kuat mereka bersuara,” katanya.

Bau tidak mudah hilang

Menurut Dr. Wafaa, bau khas seseorang tidak mudah hilang, terutama apabila kucing berada dalam persekitaran atau kawasan yang sama.

Bau ini kekal tercatat dalam memori kucing sebagai rujukan utama terhadap individu yang dikenali.

Namun, ketiadaan pemilik dalam tempoh yang lama masih boleh memberi kesan terhadap tingkah laku kucing, walaupun bau pemilik masih wujud di persekitaran.

“Ini kerana kehadiran fizikal tetap memainkan peranan penting dalam memberikan rasa selamat yang sepenuhnya kepada kucing,” jelasnya.

Dr. Wafaa berkata, setakat ini tiada perbezaan ketara antara kucing di dalam rumah dan di luar rumah dari segi reaksi terhadap bau pemilik.

“Kucing di luar rumah yang pulang ke rumah biasanya akan menggesel badan pada pemilik sebagai tanda ‘menyapa’ serta meninggalkan bau mereka pada individu tersebut,” katanya.

Perbuatan ini dikenali sebagai allorubbing, iaitu tingkah laku menggesel kepala atau badan yang berfungsi untuk menunjukkan kemesraan serta membentuk “bau berkumpulan”.

Kucing mempunyai kelenjar bau di pipi, dahi, mulut dan pangkal ekor. Apabila mereka menggesel, bau mereka akan dipindahkan kepada manusia atau kucing lain.
Pembentukan bau berkumpulan ini amat penting dalam mewujudkan suasana yang harmoni, mesra dan selamat, terutama dalam rumah yang mempunyai lebih daripada seekor kucing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN