Anak-anak adalah kekuatan seorang ibu. Demi mereka, ada ibu yang memilih untuk bertahan bertahun-tahun dalam perkahwinan yang tidak lagi bahagia.
Minggu ini saya kongsikan kisah Jun, (bukan nama sebenar) yang sanggup mempertahankan perkahwinan toksik selama 25 tahun kerana cinta terhadap anak-anak jauh lebih besar daripada luka yang ditanggung.
Namun apabila anak-anak dewasa dan mula memahami segalanya, demi mereka juga, Jun akhirnya memilih untuk menamatkan perkahwinan itu untuk kehidupan lebih tenang.
Menurut Mira, (bukan nama sebenar), anak sulung daripada tiga beradik itu bukan mudah untuk menerima, tetapi lebih perit melihat ibu mereka terus disakiti. Jadi kali ini, kata Mira, dia dan dua lagi adiknya, Azhar dan Iza, (bukan nama sebenar) memilih untuk berdiri di belakang ibu.
“Kami menyokong keputusan ibu untuk berpisah kerana mahu melihat insan yang banyak terluka sebelumnya, bahagia. Saya dan adik-adik bukan sekadar menjadi saksi , tetapi akan terus menjadi pelindung kepada ibu untuk selama-lamanya,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Sambung Mira, dia tidak pernah berniat membuka aib sesiapa. Sebaliknya, ia adalah sebuah kisah yang diizinkan oleh ibunya sendiri agar apa yang dilalui menjadi pengajaran.
“Saya sayang kedua-duanya, ibu dan ayah. Tetapi pada masa sama, sudah tiba masanya ayah menamatkan apa dimulakan. Ibu berhak bahagia,” ujarnya.
Menyambung cerita kata Mira, sebagai anak sulung, dia yang paling banyak melihat dan memahami apa yang berlaku di depan matanya. Katanya, sepanjang tempoh mereka tiga beradik membesar tiada ketenangan pernah ditemui.
Setiap hari hidup mereka penuh ketakutan dan tekanan. Bapa mereka, bukan sentiasa seperti seorang pelindung. Ada hari-hari tertentu, bapa marah-marah tanpa sebab yang jelas.
“Ibu sering menjadi tempat ayah melepaskan kemarahan, Saya dan adik-adik terpaksa diam melihat sahaja ibu diherdik dan dipukul. Semakin saya dan adik-adik dewasa, semakin jelas apa yang kami lihat selama ini bukan sesuatu yang normal.
“Layanan ayah kepada ibu bukan kasih sayang, tetapi keganasan,” ujarnya.
Menurut Mira, dia tahu selama ini ibu bertahan demi anak-anak, demi menjaga maruah keluarga dan dengan harapan suatu hari suami akan berubah. Namun harapan itu tidak pernah
menjadi kenyataan.
Sehinggalah pada pertengahan November tahun lepas, ibu memilih untuk menamatkan sebuah hubungan yang dibina selama ini. Hatinya bercampur baur. Sedih dan takut.
Tetapi pada masa sama wujud satu perasaan lega. Ini kerana pada akhirnya, ibu berani membuat keputusan demi untuk kebahagiaan dan ketenangan diri sendiri.
Berkongsi di awal perkenalan menurut cerita, ibu mengenali bapa mereka, Rashid (bukan nama sebenar) dalam satu majlis keramaian. Bapa hadir sebagai seorang lelaki penyayang, prihatin dan penuh perhatian.
Kata-kata bapa lembut, sangat menyakinkan dan mengambil berat. Sambung Mira, sepanjang proses mengenali hati budi, ada beberapa tanda kecil seperti mudah marah atau mengawal yang ditunjukkan bapa, tetapi semuanya ditutup dengan permohonan maaf .
Bapa berjanji untuk berubah. Selepas menjalinkan hubungan hampir enam bulan, akhirnya mereka bersetuju untuk menamatkan dengan ikatan sah. Namun bahagia hanya di awal perkahwinan.
Sifat sebenar bapa yang panas baran dan kaki pukul mula muncul sedikit demi sedikit.
Namun disebabkan cinta dan penuh harapan, ibu memilih untuk bertahan. Setiap kali itu berlaku, akan ada drama meminta maaf, merayu dan air mata.
Ibu memaafkan bapa dengan harapan itu hanyalah sementara sabaja. Ibu juga percaya, apabila ada anak-anak, hati bapa akan berubah menjadi lembut, lebih bertanggungjawab dan lebih menghargai sebuah keluarga. Namun harapan tinggal harapan.
Hari bertukar minggu, minggu bersilih bulan dan menjadi tahun. Kitaran sama berulang.
Menurut Mira, ibu benar-benar ketakutan ketika itu, tetapi bertahan demi anak-anak.
“Ibu bukan sahaja memikirkan saya dan adik-adik yang ketika itu masih kecil, tetapi jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan agar ayah berubah,”ujarnya.
Sejak itu, kata Mira, ibu mula mengasingkan diri dari keluarga dan kawan-kawan. Selepas bertahun-tahun, luka yang ada bukan sahaja pada tubuh, tetapi pada emosi ibu.
Bercerita lanjut kata Mira yang masih belum berumah tangga itu, semakin meningkat dewasa, dia dan adik-adik mula memahami, menilai dan merasai luka yang selama ini disembunyikan ibu.
Sejak kecil mereka mungkin tidak mengerti sepenuhnya apa yang berlaku.
Gambaran dan pandangan mereka tentang kehidupan semakin jelas dan berubah. Mereka sedar, ibu tidak harus dibiarkan menjadi mangsa penderitaan berterusan.
Walaupun usia semakin meningkat, sikap panas baran bapa mereka tidak pernah berubah dan ibu terus menjadi mangsa. Dari situ, timbul kesedaran dalam diri mereka tiga beradik, ibu perlu diselamatkan.
“Sudah tiba masanya ibu menjalani kehidupan bahagia. Bayangkan lebih dua dekad, ibu terpaksa menanggung penderitaan disebabkan sikap panas baran ayah yang sukar dijangka dan dikawal,” ujarnya.
Menurut Mira, pada awalnya, ibu sukar menerima cadangan anak-anak untuk menamatkan perkahwinan yang telah lama dibina. Hati ibu masih sarat dengan harapan dan kasih sayang.
Namun demi ketenangan diri dan setelah melihat kesungguhan anak-anak, ibu memilih untuk akur. Sambung Mira lagi, kehidupan ibu selepas berpisah bukan mudah. Masih ada ketakutan dan kebimbangan selepas bapa mereka cuba menghubungi ibu beberapa kali,
Ada ketikanya bapa, datang ke rumah sehingga membuatkan ibu berasa tidak selesa. Namun masa perlahan-lahan meredakan kebimbangan dan ketakutan ibu. Gangguan bapa semakin berkurangan.
Hari demi hari keadaan menjadi lebih tenang.
“Saya bersyukur ibu kini sudah menemui ketenangan yang selama ini hilang. Ibu kini tinggal bersama saya atas persetujuan adik-adik. Insya Allah saya dan adik-adik akan sentiasa bersama dan menyokong ibu dalam menjalani sisa-sisa usia tuanya,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai perceraian, tetapi dibenarkan apabila ia menjadi jalan terbaik untuk mengelakkan kemudaratan.
Sebagaimana Firman Allah SWT “Dan jika pasangan suami isteri bercerai, maka Allah akan memberikan kecukupan kepada masing-masing dari limpahan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya), Maha Bijaksana,” (Surah An-Nisa -130).










