Bilionair Malaysia bertambah, bagus atau tidak?

Bilionair Malaysia bertambah, bagus atau tidak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Laporan mengenai jumlah bilionair di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 39 peratus menjelang 2031 memang kedengaran mengujakan. Secara logiknya, ramai akan mengaitkan pertambahan golongan kaya ini dengan perkembangan ekonomi negara yang semakin kukuh dan matang.

Laporan itu turut menyatakan jumlah individu dengan kekayaan bersih sangat tinggi (UHNWI) di Malaysia diunjurkan berkembang 20.1 peratus dalam tempoh lima tahun, daripada 1,566 individu pada 2026 kepada 1,881 individu menjelang 2031.

Tetapi persoalannya, adakah peningkatan ini benar-benar mencerminkan kemajuan yang dirasai oleh semua lapisan masyarakat?

Secara asasnya, pertumbuhan bilionair sering menjadi petunjuk ekonomi sesebuah negara sedang berkembang. Ia menunjukkan adanya peluang pelaburan, perniagaan yang berkembang, serta pasaran yang aktif.

Bila lebih ramai individu mampu mengumpul kekayaan pada tahap tinggi, ia memberi gambaran bahawa sektor tertentu dalam ekonomi bergerak dengan baik. Dalam konteks ini, laporan daripada Knight Frank itu turut mengaitkan peningkatan ini dengan pasaran modal yang aktif dan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan.

Namun, realiti di peringkat rakyat biasa tidak semestinya selari dengan angka tersebut. Walaupun jumlah bilionair meningkat, ramai dalam kalangan masyarakat masih bergelut dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Harga makanan, sewa rumah, pendidikan dan pengangkutan terus meningkat, menyebabkan ramai terpaksa bekerja lebih daripada satu pekerjaan untuk menampung keperluan harian.

Di sinilah timbul jurang semakin ketara antara golongan kaya dan rakyat kebanyakan. Kekayaan mungkin bertambah di peringkat atas, tetapi tidak semestinya ‘mengalir’ ke bawah secara adil. Ini menyebabkan timbul persoalan, siapa sebenarnya yang menikmati hasil pertumbuhan ekonomi tersebut?

Peningkatan bilionair juga ada kesan positifnya. Golongan ini biasanya menjadi pemacu pelaburan, membuka peluang pekerjaan dan menyumbang pembangunan sektor tertentu.

Namun, tanpa dasar seimbang, ketidaksamarataan boleh menjadi lebih ketara dan lebih penting bagaimana kekayaan itu diagihkan, peluang ekonomi diperluaskan dan kos hidup dikawal. Barulah kemajuan dapat dirasai oleh semua, bukan hanya segelintir golongan.

Adlinahani Khalil adalah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN