WASHINGTON: Iran memberi amaran akan melancarkan tindak balas ‘panjang dan menyakitkan’ terhadap kedudukan Amerika Syarikat (AS) jika Washington menyambung semula serangan.
Teheran turut mengulangi tuntutannya ke atas Selat Hormuz, sekali gus merumitkan usaha AS membentuk pakatan bagi membuka semula laluan perairan strategik itu.
Dua bulan selepas perang AS-Israel terhadap Iran, laluan penting itu masih ditutup, sekali gus menjejaskan 20 peratus bekalan minyak dan gas dunia.
Keadaan itu menyebabkan harga tenaga global melonjak serta meningkatkan kebimbangan terhadap risiko kemelesetan ekonomi.
AMARAN UNTUK WASHINGTON
Seorang pegawai kanan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata, sebarang serangan baharu AS ke atas negara itu, walaupun berskala terhad, akan mencetuskan pertempuran ‘panjang dan menyakitkan’ terhadap kedudukan AS di rantau tersebut.
“Kami melihat apa yang berlaku kepada pangkalan serantau anda, kami akan melihat perkara yang sama berlaku kepada kapal perang anda,” kata Komander Pasukan Aeroangkasa, Majid Mousavi.
Pemimpin tertinggi, Ayatollah Mojtaba Khamenei, dalam mesej bertulis kepada rakyat Iran berkata, Teheran akan menghapuskan penyalahgunaan laluan air oleh musuh di bawah pengurusan baharu Selat Hormuz, sekali gus memberi isyarat Iran berhasrat mengekalkan kawalan ke atas laluan strategik itu.
“Orang asing yang datang sejauh ribuan kilometer tidak mempunyai tempat di situ kecuali di dasar perairannya,” katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran jika gangguan akibat penutupan itu berlarutan hingga pertengahan tahun, pertumbuhan global akan merosot, inflasi meningkat dan puluhan juta orang berisiko terjerumus ke dalam kemiskinan serta kebuluran.
“Semakin lama saluran penting ini tersekat, semakin sukar untuk memulihkan kerosakan,” katanya kepada wartawan di New York.
Presiden AS, Donald Trump berdepan tarikh akhir rasmi pada Jumaat untuk menamatkan perang atau mengemukakan kes kepada Kongres bagi melanjutkannya di bawah Resolusi Kuasa Perang 1973.
Namun tarikh itu dijangka berlalu tanpa mengubah hala tuju konflik selepas seorang pegawai kanan pentadbiran berkata, untuk tujuan resolusi tersebut, permusuhan dianggap berakhir susulan gencatan senjata antara Teheran dan Washington pada April.
SERANGAN KETENTERAAN BAHARU
Usaha untuk menyelesaikan konflik itu kini menemukan jalan buntu, dengan gencatan senjata berkuat kuasa sejak 8 April, namun Teheran masih menyekat Selat Hormuz sebagai tindakan sekatan laut AS ke atas eksport minyak Iran, sumber ekonomi utama negara tersebut.
Trump dijadualkan menerima taklimat mengenai rancangan siri serangan ketenteraan baharu untuk memaksa Iran berunding bagi menamatkan konflik, menurut seorang pegawai AS kepada Reuters.
Pilihan tersebut sekian lama menjadi sebahagian daripada rancangan AS, namun laporan mengenai taklimat yang dicadangkan itu yang pertama kali disiarkan laman berita Axios pada awalnya mencetuskan kenaikan harga minyak dunia, dengan penanda aras Brent mencecah lebih AS$126 (RM500) setong sebelum kemudiannya turun semula sekitar AS$114 (RM452.60).
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei pada Khamis berkata, tidak munasabah untuk menjangkakan hasil segera daripada rundingan dengan AS, lapor agensi berita IRNA.
“Menjangkakan untuk mencapai keputusan dalam masa singkat, tanpa mengira siapa pun pengantara, pada pandangan saya adalah tidak begitu realistik,” katanya.
Sementara itu, media Iran melaporkan aktiviti pertahanan udara kedengaran di beberapa kawasan di ibu negara Teheran lewat kelmarin, manakala agensi berita Tasnim memaklumkan sistem pertahanan udara menangkis dron kecil serta pesawat pengawasan tanpa pemandu.
Dalam perkembangan berkaitan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis melarang rakyatnya daripada melakukan perjalanan ke Iran, Lubnan dan Iraq, serta menggesa mereka yang berada di negara tersebut supaya segera meninggalkannya atas alasan perkembangan situasi serantau.
Trump pada Khamis menegaskan kepada wartawan, Iran tidak akan dibenarkan memiliki senjata nuklear dan mendakwa harga petrol akan jatuh mendadak sebaik sahaja perang berakhir.
KEMENANGAN UNILATERAL
Selain menyekat hampir semua kecuali kapal miliknya melalui Selat Hormuz, Iran turut melancarkan dron dan peluru berpandu ke atas Israel serta pangkalan, infrastruktur serta syarikat berkaitan AS di Teluk.
Laporan Axios menyebut, satu lagi pelan akan dibentangkan kepada Trump dalam taklimat itu melibatkan penggunaan pasukan darat untuk mengambil alih sebahagian kawasan selat bagi membuka semula laluan perkapalan komersial.
Trump turut mempertimbangkan untuk meneruskan sekatan AS atau mengisytiharkan kemenangan unilateral, menurut pegawai.
Sebagai petanda Washington turut melihat senario penamatan konflik, kabel Jabatan Negara AS dijadualkan dihantar secara lisan kepada sekutu menjelang 1 Mei, mengundang mereka menyertai pakatan baharu dikenali sebagai Maritime Freedom Construct bagi membolehkan kapal melalui selat tersebut.
Perancis, United Kingdom (UK) dan beberapa negara lain dilapor mengadakan perbincangan untuk menyertai pakatan itu, namun menyatakan kesediaannya hanya selepas konflik berakhir.
Selepas mengadakan pertemuan dengan Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, menghentikan serangan Israel ke atas Lubnan adalah sebahagian daripada persefahaman gencatan senjata Iran–AS dan akan kekal menjadi isu utama dalam sebarang proses akan datang.
Sementara itu, Pakistan selaku pengantara dilaporkan sedang berusaha mengelakkan peningkatan konflik ketika AS dan Iran terus bertukar mesej mengenai kemungkinan perjanjian, menurut sumber Pakistan pada Rabu.










