Malaysia rekod kadar rokok haram antara tertinggi global

Malaysia rekod kadar rokok haram antara tertinggi global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia merekodkan kadar kes penyeludupan rokok haram sebanyak 54.4 peratus pada 2025, antara yang tertinggi di peringkat global.

Berdasarkan Kajian Rokok Haram NielsenIQ, dapatan tersebut mendedahkan bahawa lebih separuh daripada jumlah rokok yang digunakan di dalam negara adalah tidak sah.

Japan Tobacco lInternational Malaysia (JTI) dalam kenyataannya menegaskan keperluan mendesak terhadap penyelarasan dasar yang stabil bagi menangani isu perdagangan rokok haram yang kini didapati semakin dinamik dan mudah terjejas.

Bagaimanapun, perkembangan tersebut dilihat masih rapuh apabila kadar perdagangan haram meningkat semula kepada 56.7 peratus pada Januari 2026, iaitu kenaikan 2.3 mata peratusan dalam tempoh dua bulan susulan pelaksanaan beberapa dasar baharu dan kenaikan cukai eksais.

Pengarah Urusan JTI Malaysia, Didier Ellena berkata, peningkatan semula itu membuktikan pasaran kekal sangat sensitif terhadap faktor harga dan tahap kemampuan pengguna.

“Kemajuan yang dicapai menunjukkan keberkesanan keselarasan antara dasar dan penguatkuasaan, namun pasaran tetap sensitif terhadap perubahan kadar eksais,” katanya.

Didier turut melahirkan kebimbangan terhadap kecanggihan rantaian bekalan haram rentas sempadan, terutamanya peningkatan penggunaan setem cukai palsu yang mencecah 16 peratus pada Januari 2026 berbanding 8.7 peratus pada 2023.

Katanya, pendedahan pengilangan setem cukai palsu berskala besar di Filipina baru-baru ini yang mensasarkan pasaran Malaysia mengesahkan bahawa aktiviti haram tersebut kini lebih terancang dan bersifat ekonomi selari.

“Justeru, terdapat keperluan untuk memperkukuh sistem kod cukai digital serta meningkatkan keupayaan penjejakan dan kerjasama serantau bagi menangani ancaman ini,” katanya.

Selain itu, JTI turut menarik perhatian mengenai peralihan corak penggunaan kepada produk alternatif seperti vape yang dikenakan kadar cukai lebih rendah. 

Menurut Didier, penyelarasan cukai antara vape dan produk tembakau dipanaskan berpotensi menjana tambahan hasil kerajaan sekitar RM1.75 bilion setahun.

Sebagai langkah jangka masa pendek, JTI menyeru kerajaan untuk mengekalkan kestabilan dasar, mempertimbangkan moratorium cukai bersasar, serta menyelaraskan percukaian merentas semua kategori produk nikotin bagi memastikan kemajuan yang dicapai tidak terjejas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN