Sepanyol buntu, Cape Verde curi mata bersejarah

Sepanyol buntu, Cape Verde curi mata bersejarah

Penjaga gol Cape Verde, Vozinha (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas membantu negaranya mengikat juara Eropah, Sepanyol 0-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan H Piala Dunia 2026 di Stadium Atlanta, Georgia, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLANTA: Status sebagai antara pasukan pilihan Piala Dunia 2026 tidak membantu Sepanyol apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan pendatang baharu, Cape Verde dalam aksi pembukaan Kumpulan H, awal pagi tadi.

Skuad juara Eropah itu menguasai sebahagian besar permainan, namun gagal menembusi benteng pertahanan kental Cape Verde yang tampil penuh disiplin pada penampilan sulung mereka di pentas Piala Dunia.

Ketiadaan Lamine Yamal dalam kesebelasan utama akibat masih dalam proses pemulihan kecederaan hamstring jelas menjejaskan ketajaman serangan Sepanyol yang kelihatan tumpul sepanjang perlawanan.

Peluang terbaik La Roja hadir menjelang tamat babak pertama menerusi Ferran Torres yang terkena palang gol sebelum penjaga gol Cape Verde, Vozinha cemerlang menafikan beberapa lagi cubaan berbahaya lawan.

Yamal dimasukkan pada babak kedua dan berjaya menghidupkan jentera serangan Sepanyol, namun pengaruh bintang muda Barcelona itu masih belum cukup untuk menghadiahkan kemenangan kepada pasukannya.

Cape Verde yang berada di ranking ke-67 dunia pula membuktikan mereka bukan sekadar pelengkap jadual apabila berjaya mengekang pasukan yang dianggap antara calon utama menjulang trofi di New Jersey bulan depan.

Malah, pasukan yang mewakili negara dengan populasi hanya sekitar 500,000 penduduk itu hampir mencipta kejutan lebih besar pada minit akhir permainan menerusi tandukan Dani Borges yang berjaya diselamatkan Unai Simon.

Keputusan seri itu memberi amaran awal kepada Sepanyol yang kini perlu segera mencari formula terbaik menjelang pertemuan menentang Arab Saudi, manakala Cape Verde boleh terus memasang impian untuk melakar satu lagi kejutan apabila berdepan Uruguay. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN