KUALA LUMPUR: Seorang pekerja gudang syarikat e-dagang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan kepada dua peserta acara larian, Sabtu lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Muhammad Saiful Sabinee, 21, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Mengikut pertuduhan, dia yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah didakwa menunggang sebuah motosikal secara lawan arus di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan iaitu sebanyak 184 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter.
Perbuatan itu telah menyebabkan kecederaan kepada seorang wanita, Mazni Lamin, 50, dan seorang lelaki, Azwan Ibrahim, 41, di Jalan Munshi, berhampiran sebuah gedung pakaian, di sini, pada pukul 6.14 pagi, 3 Oktober lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurbatrisyia Mohd Razib mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin kepada Muhammad Saiful.
Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon kadar jaminan yang minimum atas alasan hanya bekerja di sebuah gudang syarikat e-dagang dengan pendapatan bulanan RM1,500 selain perlu menanggung empat adik-beradik yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 7 Januari ini.
Pada 3 Oktober lalu, tular satu video menunjukkan dua peserta acara larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) terbaring di atas jalan selepas dilanggar oleh sebuah motosikal.
Media kemudian melaporkan penunggang motosikal warga tempatan berusia 21 tahun dipercayai mabuk itu ditahan bersama pembonceng berusia 19 tahun.
Difahamkan, lelaki itu telah menceroboh laluan yang ditutup dengan kon dan cuba melarikan diri secara melawan arus selepas diarahkan berhenti oleh anggota bertugas.
Kejadian itu menyebabkan seorang peserta lelaki berusia 41 tahun mengalami kecederaan di bahagian leher, manakala seorang peserta wanita berusia 50 tahun cedera di lutut kanan serta tangan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan. – UTUSAN










