PETALING JAYA: IOI Properties Group Berhad (IOI Properties) berada dalam landasan kukuh untuk disenaraikan sebagai konstituen indeks FBM KLCI pada semakan akan datang, hasil daripada lonjakan ketara harga sahamnya sejak November tahun lalu.
Penganalisis CIMB Securities, Ivy Ng Lee Fang berkata, IOI Properties kini menduduki tempat ke-24 berdasarkan nilai permodalan pasaran (market cap) dalam kalangan sekuriti yang layak, selepas mencatatkan rali harga saham sebanyak 87.8 peratus sejak 24 November 2025.
“Di bawah peraturan asas KLCI, sesebuah saham layak untuk dimasukkan ke dalam indeks jika ia menduduki kedudukan ke-25 atau lebih tinggi berdasarkan nilai permodalan pasaran.
“Ini menunjukkan IOI Properties bersedia untuk dimasukkan ke dalam FBM KLCI, dengan syarat ia mengekalkan kedudukan 25 teratas menjelang tarikh tutup semakan indeks pada 25 Mei 2026,” katanya dalam nota penyelidikan.
Mengulas lanjut, Ivy berkata, penyertaan IOI Properties berkemungkinan besar akan mengakibatkan penyingkiran Sime Darby Berhad yang kini merupakan konstituen KLCI terkecil dari segi permodalan pasaran.
“Berdasarkan anggaran awal, IOI Properties dijangka membawa wajaran indeks sekitar 1.05 peratus, berbanding wajaran semasa Sime Darby sebanyak 1.37 peratus.
“Semakan separuh tahunan KLCI akan datang adalah berdasarkan data pasaran setakat 25 Mei 2026, manakala keputusan awal dijangka diumumkan pada 3 Jun 2026.
“Segala perubahan konstituen yang dimuktamadkan akan berkuat kuasa secara rasmi pada Isnin, 22 Jun 2026,” katanya.
Tambah beliau, Hong Leong Financial Group yang kini berada di kedudukan ke-27 permodalan pasaran, sukar untuk disenaraikan semula walaupun jika ia berjaya memasuki kelompok 25 teratas.
“Ini kerana syarikat tersebut tidak memenuhi keperluan kecairan yang ditetapkan oleh FTSE, di mana bukan konstituen perlu memenuhi ambang kecairan sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 daripada 12 bulan,” tambahnya.
Selain IOI Properties, laporan tersebut turut mendedahkan bahawa Petronas Chemicals dan Press Metal Aluminium merupakan antara kaunter yang mencatatkan kenaikan permodalan pasaran terbesar, manakala Maxis, Gamuda dan Axiata mencatatkan penurunan terbesar sejak semakan terakhir.
CIMB Securities turut mengetengahkan beberapa syarikat pilihan seperti RHB Bank, Telekom Malaysia, dan Tenaga Nasional yang dikekalkan dengan saranan ‘BELI’ berdasarkan prospek pulangan dividen dan kecekapan kos yang lebih baik. -UTUSAN










