PETALING JAYA: Harga emas dijangka mencapai paras RM700 segram menjelang hujung tahun ini, dengan peningkatan yang terkawal tanpa sebarang lonjakan mendadak.
Pada Jumaat, emas didagang secara mendatar pada AS$4,596.40 (RM586.65 segram), susut 0.76 peratus dan dijangka mendatar sepanjang minggu ini berikutan tekanan daripada kenaikan harga minyak yang mencetuskan kebimbangan inflasi.
Situasi tersebut turut mengukuhkan jangkaan bahawa kadar faedah akan kekal tinggi bagi tempoh lebih lama.
Sementara itu, niaga hadapan emas Amerika Syarikat (AS) bagi penghantaran Jun turun 0.1 peratus kepada RM18,366.81.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, berdasarkan trend semasa, terdapat kecenderungan untuk harga emas kekal dalam fasa menaik, namun pergerakannya dijangka tidak linear.
Katanya, akan wujud turun naik jangka pendek, tetapi dalam jangka sederhana hingga panjang, prospek masih cenderung positif selagi ketidaktentuan global berterusan.
“Sasaran RM700 segram bukan sesuatu yang mustahil, tetapi ia bergantung kepada beberapa pemangkin utama.
“Antaranya ialah penurunan kadar faedah global yang lebih agresif, peningkatan risiko kemelesetan ekonomi, serta permintaan berterusan daripada bank pusat dunia yang kini aktif menambah rizab emas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, harga emas diunjur berada pada paras RM580 sehingga RM590 segram pada minggu ini.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, jangkaan harga emas menjelang hujung 2026 dilihat kekal dalam trajektori menaik.
Ujarnya, sentimen pasaran ketika ini masih cenderung positif, didorong oleh krisis di Asia Barat yang memberi tekanan inflasi serta permintaan tinggi terhadap emas sebagai aset selamat.
“Sekiranya faktor ini berterusan, tidak mustahil harga emas boleh menghampiri atau melepasi paras RM700 segram.
“Namun unjuran ini bergantung kepada beberapa keadaan luaran termasuk pergerakan dolar AS dan hala tuju kadar faedah global.
“Sebarang pengukuhan semula dolar AS atau kadar faedah yang kekal tinggi untuk tempoh lebih lama berpotensi memperlahankan momentum kenaikan harga emas dalam jangka pendek,” katanya.
Dalam pada itu, Penganalisis pasaran kewangan kanan di Capital.com, Kyle Rodda berkata, pasaran dalam sesi Asia agak kecil berikutan cuti umum di pasaran pengguna utama iaitu China dan India.
“Pasaran kini berada di persimpangan jalan, atau sekurang-kurangnya sedang menunggu pemangkin seterusnya untuk menentukan arah pergerakan yang lebih jelas,” katanya.
Ketegangan geopolitik kekal menjadi tumpuan selepas Iran pada Khamis menyatakan akan bertindak balas dengan “serangan besar dan menyakitkan” terhadap kedudukan AS jika Washington memperbaharui serangan.
Dalam pasaran logam lain, perak spot meningkat 0.4 peratus kepada RM293.74 seauns, platinum susut 0.2 peratus kepada RM7,865.56, manakala paladium naik 0.1 peratus kepada RM6,055.68.-UTUSAN










