PETALING JAYA: Tiada data spesifik mengenai jumlah sebenar pelarian etnik Rohingya yang berada di negara ini.
Namun, terdapat seramai 5,814 orang warga Myanmar etnik Rohingya yang direkodkan berada di depot imigresen di seluruh negara setakat 10 Jun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, daripada jumlah itu, 4,012 ialah lelaki dewasa, 885 wanita dewasa, 532 kanak-kanak lelaki dan 385 kanak-kanak perempuan.
“Seramai 219,472 pelarian dan pencari suaka berdaftar sehingga akhir April lalu. Setakat ini, ini data yang digunakan bagi pendaftaran pelarian oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zakaria berkata, proses pengumpulan maklumat secara menyeluruh berkenaan jumlah sebenar etnik Rohingya di Malaysia sedang dilaksanakan berdasarkan Arahan MKN No. 23 (Semakan 2023).
Beliau berkata, isu penempatan haram etnik berkenaan berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan yang bertanggungjawab terhadap aspek perancangan, pembangunan serta penguatkuasaan kawasan penempatan.
Bagaimanapun, katanya, Jabatan Imigresen (JIM) sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pejabat tanah dan galian (PTG) menerusi perkongsian maklumat serta operasi bersepadu bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.
“JIM tidak menyelenggara data khusus berkaitan jumlah penempatan haram kerana perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa agensi lain yang berkaitan.
“Namun, JIM mempunyai rekod dan data berkaitan warga asing yang telah dikenakan tindakan imigresen serta ditempatkan di depot imigresen mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” jelasnya.
Zakaria berkata, pemantauan serta penguatkuasaan akan diambil terhadap kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 termasuk operasi pengesanan, pemeriksaan dan tindakan terhadap warga asing yang melanggar syarat imigresen serta undang-undang negara.
“Jabatan ini, akan terus memantau perkembangan membabitkan warga asing dari masa ke semasa.
“Kami akan memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan isu migrasi dan kehadiran warga asing di negara ini dapat ditangani secara berkesan selaras dengan dasar kerajaan dan undang-undang,” katanya. – UTUSAN










