JERANTUT: Seorang penduduk Orang Asli dari Kampung Orang Sungai Berjuang di sini, fasih 13 dialek daripada 18 bahasa etnik masyarakat tersebut yang dipelajari menerusi pergaulan dengan mereka.
Sudin Abdullah, 65, berkata, dia boleh berkomunikasi menggunakan dialek Jakun, Semelai, Temuan, Bateq, Jahai, Kensiu, Kintak, Che Wong, Jahut, Mahmeri, Semai, Semoq Beri dan Temiar sekiranya bertemu rakan yang tinggal di sekitar Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu serta beberapa tempat lain.
“Sejak berusia 18 tahun saya merantau dan bekerja di perkampungan Orang Asli di seluruh Pahang dan negeri-negeri lain yang membantu menguasai dialek ini beransur-ansur menerusi pergaulan dengan rakan.
“Belajar bahasa etnik (dialek) sangat mudah, lebih-lebih lagi saya berasal daripada etnik Bateq Nong dari kumpulan bahasa suku Negrito yang banyak tinggal di negeri ini terutama di Jerantut dan Lipis,” katanya di kampung berkenaan.
Sudin yang memeluk agama Islam sejak 1993 berkata, perbualan Orang Asli adalah pecahan (subdialek) dari tiga bahasa suku (etnik) utama iaitu Negrito, Semoi dan Melayu Proto.
“Mungkin kerana rajin berbual dan bertanya dengan rakan daripada etnik lain selain sangat berminat semua bahasa suku Orang Asli memudahkan saya menguasai 13 dialek tersebut,” katanya.
Sudin berkata, dia juga memahami lima dialek lagi iaitu Orang Kanaq, Orang Kuala, Orang Seletar, Mendriq dan Lanoh sekiranya berjumpa serta berbual dengan rakan etnik berkenaan, tetapi mengambil masa untuk membalas percakapan kerana bahasa tersebut banyak dituturkan oleh Orang Asli di selatan Semenanjung.
Katanya, selain dialek Orang Asli, dia belajar bahasa Kantonis dan Tamil menerusi rakannya yang berketurunan Tionghua dan Tamil yang tinggal berdekatan dengan kampung tersebut.
“Ketika berbelanja barang keperluan dapur di pekan Batu Balai berdekatan kampung ini, saya selesa berbual menggunakan bahasa Kantonis dengan peniaga Cina, begitu juga dengan rakan India menggunakan bahasa Tamil. Sehingga ada yang hairan melihat kemampuan saya bercakap kedua-dua bahasa ini,” katanya. – UTUSAN










