SHAH ALAM: Peserta Talk To My Manager Musim kedua, Kim Khairii menolak tanggapan yang mengaitkan popularitinya jatuh menjunam gara-gara pengakuannya yang sudah mendirikan rumah tangga baru-baru ini.
Kim atau nama penuhnya Muhammad Daniel Khaqin Mohd Khairi berkata masih ramai yang menyokong meskipun mengetahui dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata.
”Saya masih orang yang sama, Kim Khairii yang sama atas pentas. Ramai lagi peminat yang menyokong saya.
“Setiap minggu ramai sahaja yang datang memberi sokongan, tak ada yang ambil hati kerana saya sudah berkahwin,” ujarnya.
Terdahulu, Kim secara terbuka mengakui sudah berumah tangga dengan seorang bekas penyanyi dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.
Namun dia enggan mendedahkan identiti isterinya bagi menjaga privasi keluarga.
Dalam pada itu Kim Khairii menghargai peminat yang menghormati statusnya sebagai suami orang dan menafikan wujudnya gangguan yang cuba merosakkan rumah tangganya.
”Setakat ini tiada (cuba mendekati), peminat saya sangat menghormati status saya sebagai suami orang. Tiada yang cuba mendekat.
”Setakat ini tiada dan saya tidak minta perkara itu berlaku,” kongsinya. – UTUSAN










