PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) minggu hadapan, berikutan tekanan kos sara hidup dan inflasi yang menjejaskan kuasa beli isi rumah.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, sebarang pelarasan kadar faedah berpotensi digunakan sebagai alat untuk menyokong permintaan domestik dan mengurangkan beban kewangan rakyat, khususnya melalui penurunan kos pinjaman.
“Terdapat jangkaan bahawa OPR mungkin diturunkan sedikit ke paras antara 2.60 peratus hingga 2.70 peratus, berbanding kadar semasa 2.75 peratus, sekiranya tekanan inflasi kekal terkawal dan pertumbuhan ekonomi memerlukan rangsangan tambahan.
“Langkah sedemikian dilihat mampu memberikan kelegaan kepada peminjam isi rumah dan perniagaan kecil melalui pengurangan kadar faedah pinjaman, di samping menyokong perbelanjaan domestik yang menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, OPR dilihat masih berada pada tahap yang sesuai untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara, tanpa keperluan mendesak untuk sebarang perubahan dalam masa terdekat.
“Keadaan ekonomi semasa kekal stabil dengan petunjuk utama menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.
“Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama mencatat pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus, mencerminkan momentum ekonomi yang kukuh.
Pada masa sama, kadar inflasi kekal terkawal pada paras 1.7 peratus pada Mac, manakala kadar pengangguran turut menunjukkan kestabilan dengan berada pada 2.9 peratus pada Februari, menandakan keadaan pasaran buruh yang sihat.
“Secara keseluruhan, kombinasi pertumbuhan yang stabil, inflasi rendah dan pasaran pekerjaan yang kukuh menunjukkan bahawa OPR semasa masih bersifat akomodatif dan mencukupi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.
Sementara itu, HSBC berkata, OPR dijangka pada paras 2.75 peratus dalam mesyuarat Mei, susulan data ekonomi Malaysia yang kekal berdaya tahan.
Dalam satu nota penyelidikan, HSBC berkata, pihaknya akan memberi perhatian kepada nada penilaian BNM terhadap trajektori inflasi, yang kini banyak bergantung kepada sebarang pelarasan fiskal berkaitan dasar subsidi RON95.
Menurut bank itu, Malaysia berada pada kedudukan yang relatif lebih baik untuk menghadapi kejutan harga tenaga, memandangkan negara ini merupakan antara segelintir pengeksport bersih tenaga di Asia.
“Dari segi pertumbuhan, BNM dijangka mengekalkan nada berhati-hati tetapi optimistik, sambil terus mengakui cabaran luaran,” katanya.
Selain itu, CIMB Securities dijangka mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) minggu depan.
Dalam nota penyelidikan, firma pembrokeran pasaran itu berkata, jangkaan dibuat di sebalik ketidaktentuan berterusan akibat konflik di Asia Barat yang kini memasuki bulan ketiga.
Katanya, ia menganggarkan inflasi keseluruhan bagi April meningkat kepada 2.0 peratus tahun ke tahun berbanding 1.7 peratus pada Mac.
Secara keseluruhan, HSBC tidak menjangkakan BNM akan membuat sebarang perubahan dasar ke mana-mana arah pada tahun 2026 dan 2027.
BNM akan mengadakan mesyuarat ketiga MPC pada 7 Mei 2026 bagi menentukan OPR.-UTUSAN










