Mental isteri ‘koyak' akibat suami kuat sentap

Mental isteri ‘koyak’ akibat suami kuat sentap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Soalan:

Suami kuat sentap, suka bagi silent treatment bila bergaduh. Saya memang tak suka dengan sikap suami dan dia tahu tapi tetap melakukan perbuatan itu setiap kali bergaduh. Suami suruh terima dia seadanya tapi mental saya benar-benar penat.

Isteri kecewa

Jawapan:

Mentaati suami adalah perkara yang dituntut dalam agama, namun apabila pasangan memilih untuk mendiamkan diri ketika berlaku isu dalam rumah tangga, hati pasangan juga turut terguris. Keadaan ini boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga, justeru isteri memerlukan strategi untuk menjaga kesejahteraan diri dan menangani isu dengan lebih berkesan:

Batasan Emosi
Kenal pasti had keselesaan diri dan jangan biarkan silent treatment dari suami menjejaskan emosi terlalu lama. Mengetahui had sendiri membantu isteri kekal stabil, mengurangkan tekanan psikologi dan membolehkan isteri bertindak dengan lebih tenang tanpa dipengaruhi emosi negatif.

Jangan Ambil Hati
Fahami silent treatment adalah pilihan suami, bukan cerminan diri anda. Dengan tidak terlalu mengambil hati, isteri dapat mengelakkan rasa kecewa yang berpanjangan, mengekalkan keyakinan diri dan lebih fokus pada penyelesaian isu secara lebih matang.

Berkomunikasi
Pilih masa yang sesuai untuk berbincang tentang isu sebenar tanpa menya­lahkan pasangan. Fokus kepada emosi yang anda sedang rasai. Ini menjadikan perbincangan lebih konstruktif, kurang konflik dan dapat meningkatkan peluang pasangan mendengar dengan terbuka.

Cari Sokongan
Kongsi perasaan dengan rakan atau ahli keluarga yang dipercayai atau pertimbangkan kaunseling keluarga. Sokongan luar dapat membantu isteri merasa didengari, memberi sudut pandang yang lebih positif dan dapat mengurangkan rasa keseorangan ketika menghadapi konflik emosi dengan suami.

Fokus Aktiviti
Luangkan masa dengan melakukan hobi atau aktiviti yang disukai untuk membina semula keyakinan diri. Aktiviti positif ini dapat membantu mengalihkan perhatian daripada situasi negatif dan membolehkan isteri mengekspresikan diri dengan cara yang sihat.

Teknik “Break”
Apabila suami memberi silent treatment, beri ruang sementara untuk kedua-dua pihak tenang sebelum berbincang. Teknik ini mengelakkan perbalahan menjadi lebih buruk, memberi peluang untuk menenangkan emosi dan membolehkan kedua-dua pihak berfikir secara rasional sebelum menyelesaikan masalah.

Kesimpulan: menghadapi suami yang suka memberi silent treatment memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan dalam menangani isu disamping menjaga kesejahteraan mental. Dengan strategi yang seimbang, isteri dapat mengekalkan kestabilan emosi, mengurangkan tekanan dan mengekalkan keharmonian rumah tangga walaupun berdepan konflik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN