KOTA BHARU: Sebanyak 61 kesan tikaman ditemukan pada badan seorang wanita yang dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dibuang di Kampung Simah, Ketereh dekat sini, semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia hasil pemeriksaan awal dilakukan pasukan forensik bermula dari bahagian muka sehingga kaki.
Katanya, kebanyakan kecederaan tertumpu pada bahagian kanan badan.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat. Kita telah kenal pasti identiti mangsa hasil semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Polis klasifikasikan kes ini sebagai bunuh dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mohd. Yusoff berkata, polis menerima panggilan berhubung penemuan mayat pada pukul 12.30 tengah malam daripada orang awam.
Katanya, mangsa memakai rantai leher dengan ukiran nama ‘Syaa’, seutas gelang di pergelangan tangan kiri serta sebentuk cincin di jari tengah pada tangan kanan.
“Mangsa juga berpakaian baju lengan panjang hitam dan seluar panjang hitam. Pemeriksaan di tempat kejadian turut menemukan beberapa barangan lain termasuk manik berwarna-warni, cermin mata dan selendang.
“Tiada dokumen pengenalan diri ditemukan. Unit anjing pengesan (K9) telah digerakkan bagi tujuan pengesanan di sekitar lokasi dalam radius kira-kira 30 meter,” ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata, mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di situ.
Katanya, lokasi kejadian merupakan sawah padi yang gelap tanpa pencahayaan lampu jalan dan terletak kira-kira 47 meter dari rumah penduduk terdekat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi ASP Ganesan di talian 012-5691204,” ujarnya. – UTUSAN










