PETALING JAYA: Ultras Malaya melancarkan boikot fasa 1 terhadap semua perlawanan melibatkan Harimau Malaya berkuat kuasa serta-merta, sebagai tekanan terhadap tiga tuntutan utama yang dikemukakan kepada pihak berkaitan.
Kumpulan penyokong tegar bola sepak negara itu menjelaskan keputusan tersebut dibuat selepas meneliti serta membincangkan pelbagai isu berkaitan pengurusan bola sepak tanah air yang didakwa semakin membimbangkan.
Tiga tuntutan utama yang dibangkitkan ialah menarik balik kerakyatan tujuh pemain warisan, mengembalikan pengurusan Harimau Malaya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), serta melaksanakan reformasi menyeluruh dalam struktur bola sepak negara.
“Sekiranya ketiga-tiga tuntutan ini tidak dipenuhi dalam tempoh yang telah ditetapkan, boikot fasa 2 yang lebih menyeluruh akan dilaksanakan, dan akan melibatkan keseluruhan ekosistem Liga Malaysia,” kata Ultras Malaya dalam satu kenyataan, semalam.
Kumpulan penyokong itu menegaskan, kegagalan berbuat demikian akan menyaksikan pelaksanaan boikot Fasa 2 yang lebih besar dan menyeluruh, melibatkan keseluruhan ekosistem Liga Malaysia.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan berkenaan bukan didorong oleh sentimen kebencian terhadap mana-mana pemain atau pasukan, sebaliknya sebagai usaha mendesak perubahan demi masa depan bola sepak negara yang didakwa perlu lebih telus, berintegriti dan tersusun.
“Kami menolak sebarang bentuk penggunaan bola sepak untuk kepentingan peribadi, pengaruh atau agenda tertentu,” katanya.
Ultras Malaya turut menegaskan pendirian mereka untuk terus memperjuangkan bola sepak Malaysia yang “tulen, adil dan berasaskan tadbir urus yang baik”, serta menyeru agar sukan nombor satu negara itu “dikembalikan kepada rakyat”.
Sebelum ini, Harimau malaya digegarkan skandal pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Sebelum ini, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan dan denda terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya.-UTUSAN










