Wanita 60 tahun antara empat suspek ditahan kes bunuh remaja perempuan di Ketereh

Wanita 60 tahun antara empat suspek ditahan kes bunuh remaja perempuan di Ketereh

MOHD. YUSOFF MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis memberkas empat individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di Jalan Kampung Padang Simah, Ketereh, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, susulan kejadian itu, sepasukan anggota polis membuat dua serbuan di Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi dan Kampung Belukar Luas, Ketereh bermula pukul 4.40 petang hingga 2.30 pagi ini.

Katanya, serbuan itu membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia antara 19 tahun hingga 66 tahun serta seorang wanita berusia 60 tahun.

“Semua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

“Dalam serbuan itu, polis merampas dua buah kereta, dua unit telefon bimbit, satu set pakaian, sepasang selipar, empat pelapik kaki serta sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Yusoff berkata,semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Kota Bharu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, polis menemukan 61 kesan tikaman pada badan seorang wanita yang dipercayai mati dibunuh sebelum mayatnya dibuang di Kampung Simah, Ketereh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN