MEKAH: Bermula dengan hanya RM50 untuk membuka akaun Tabung Haji, seorang mualaf membuktikan bahawa kesungguhan dan keyakinan mampu mengubah kehidupan sehingga menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.
Pemilik kedai roti, Muhammad Zamarul Hafiz Ho Abdullah, 54, berkata, dia tidak pernah menyangka perjalanan hidup yang bermula dengan serba kekurangan dan berjaya membawanya ke depan Kaabah bagi menunaikan ibadah haji bersama isteri tercinta, Kamariah Othman.
Katanya, meskipun kehidupan seperti ‘kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang’ untuk menampung kehidupan lima beranak setelah memeluk Islam, dia tetap menabung sebahagian pendapatan ke akaun Tabung Haji.
“Tidak dinafikan pada waktu itu memang cukup-cukup makan dengan melakukan pelbagai pekerjaan, namun saya paksa diri untuk menyimpan ke akaun Tabung Haji. Setiap bulan saya pastikan ada RM200 atau RM300 dimasukkan ke dalam akaun.
“Kalau ada lebihan duit, walaupun sedikit, saya akan terus simpan. Saya pegang prinsip, kalau kita sudah berniat tunai haji, kita mesti usaha,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Muhammad Zamarul Hafiz berkata, niat mengerjakan haji bermula selepas menghadiri kuliah agama yang menekankan kewajipan menunaikan ibadah itu bagi berkemampuan meskipun pada mulanya mempersoalkan mengapa perlu membazir duit untuk ke Mekah.
Dia kemudian mengingatkan golongan muda agar mula menabung untuk menunaikan haji sejak awal.
“Jangan tunggu tua baru nak simpan. Masa itu mungkin sudah tidak larat. Paksa diri menyimpan dari sekarang. Kalau ada lebihan, simpan. Insya-Allah kalau usaha, Allah akan permudahkan,” katanya.-UTUSAN










