KUANTAN: Pemain Sri Pahang FC perlu berusaha memikat hati pengendalinya, Fandi Ahmad untuk membarisi kesebelasan utama dalam aksi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, aksi menentang Penang FC malam ini menjadi medan terakhir untuk para pemain mempamerkan bakat masing-masing kepada Fandi.
“Perlawanan terakhir Liga Super malam ini amat penting untuk pemain menunjukkan persembahan sebenar agar dipilih beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia nanti” kata Mohammed Suffian.
Aksi menentang Penang FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh juga bakal menyaksikan Fandi terus bereksperimen untuk mencari skuad terbaik untuk diturunkan dalam aksi final Piala Malaysia nanti.
Selain itu, Mohammed Suffian berharap para pemain menggunakan kesempatan yang diberikan termasuk pemain sayap, T. Saravanan yang mempamerkan peningkatan biarpun turun selaku pemain gantian.
“Saya lihat Saravanan menunjukkan prestasi yang baik ketika diberi peluang oleh Fandi dan boleh menjaringkan gol untuk membantu Sri Pahang menang dua perlawanan sebelum ini,” katanya.
Untuk rekod, Saravanan meledak satu jaringan ketika Sri Pahang membelasah Kedah Darul Aman (KDA) FC di laman sendiri selain menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Perak FC 1-0.
Biarpun aksi menentang Penang FC menjadi medan memikat Fandi, Mohammed Suffian tidak mahu barisan pemain mengabaikan misi utama pasukan untuk mengutip tiga mata penuh.
“Saya harap pemain yang diturunkan nanti dapat mempamerkan aksi terbaik kerana kita juga mahukan tiga mata untuk perbaiki kedudukan dalam Liga Super ” katanya.- UTUSAN